Wednesday, March 19, 2008

Meniti Pengalaman Pertama (BAB 8)

Insiden minyak tumpah semalam masih menjadi topik perbualan hangat hari ini di kalangan krew. Arina cuma memekakkan telinga dan menjawab sekadar perlu bila ada sesetengah krew yang bertanya perihal itu. Tidak ingin dia mengingat lagi peristiwa yang memalukan. Ditambah pula dengan usikan Abang Muazam dan Kak Ogy yang mempersendakan dirinya. Dia sudah cukup terdera dengan peristiwa semalam,kenapa mereka masih tidak segan silu menyakitkan perasaannya?Tidak sensitif dengan perasaan orang sekeliling!Dia membentak.

“Ada orang sampai menangis semalam. Kesian.”
“Hari ni jangan banjir lagilah hendaknya.”
“Tempat lain dibanjiri air,kita dibanjiri minyak pulak.”

Arina sekadar mampu tersenyum hambar menerima usikan Kak Ogy dan Abang Muazam. Berdasarkan cakap-cakap orang di sni, dialah krew pertama yang telah memecah rekod melakukan filtering hingga mengakibatkan minyak tumpah. Perasaan malu dengan kecuaian sendiri sedikit sebanyak mengganggu kosentrasinya hari ini. Seolahnya semua orang kini sedang mentertawakan kebodohannya semalam. Segalanya dirasakan serba tak kena.

“Hai,Ina. Jom makan dengan aku.Aku dah minta izin bos dah nak rehat dengan kau. Aku bawa bekal hari ni.”Mazni mempelawa rakannya yang sedang mengelap meja di ruang lobi.

“Kau pergilah makan dulu. Aku tak lapar lagi.”balas Arina. Mazni memerhatikan tingkah rakannya. Tidak seperti biasa. Raut wajahnya muram.Sebelum ini Arina tidak pernah menolak. Lagipun, mereka kini jarang bertugas dalam syif yang sama. Kesempatan yang ada inilah yang harus dimanfaatkan untuk menjalinkan kembali ikatan persahabatan yang makin renggang dicuri masa.

“Kau ada masalah?”Mazni cuba memujuk.
“Tak ada apalah.” jawapan ringkas Arina menoktahkan perbualan. Dia meninggalkan Mazni sendiri apabila seorang pelanggan menggamit memanggilnya. Mazni cuma memerhati Arina berlalu diiringi keluhan panjang. Entah apa pula yang mengganggu fikiran temannya saat ini.

“Ni kenapa mengeluh ni? Tak baiklah.”
“Eh, abang Shamsul! Ingatkan off hari ni?” Mazni bertanya dalam nada pelik. Setahunya, nama Shamsul tiada dalam jadual tugas hari ini.

“Abang replace orang.” Rajin betullah dia ni, selalu sangat menggantikan tempat orang,bisik hati kecilnya.Hingga Mazni merasakan realitinya Abang Shamsul seperti dipergunakan oleh individu yang mempunyai kepentingan sendiri.

“Oh.” Mazni mengangguk tanda faham.
“Abang Shamsul! Nanti dulu.” teriak Mazni bila Shamsul sudah agak jauh meninggalkannya. Shamsul mematikan langkah menanti Mazni menghamprinya. Pandangan mereka beradu.

“Kenapa Mazni?”
“Saya tengok Ina tu lain macam je hari ni. Semalam saya call pun tak berjawab. Abang tahu kenapa? Atau ada apa-apa yang saya tak tahu telah terjadi?” Mazni cuba mengorek rahsia punca kemurungan sahabatnya daripada Shamsul kerana Shamsul juga boleh dikatakan rapat dengan Arina selain dirinya. Mendengarkan pertanyaan Mazni,dia menghela nafas.

“Tak apa ,nanti abang cakap dengan Ina. Dia okey je tu,cuma trauma pasal hal semalam.”

Shamsul mula menceritakan apa yang telah berlaku kepadanya. Mazni mendengar tanpa membantah. Sesekali kelihatan dia mengerutkan dahi atau menganggukkan kepalanya.
“Ina memang macam tu. Selalu tak yakin pada diri sendiri. Mungkin abang Shamsul boleh nasihatkan dia. Mana tahu dia nak dengar pandangan abang sekaligus ingin berubah. Hati dia tu lembut sangat,sensitif. Abang tolonglah pujuk dia ya?”

“Baiklah, abang cuba.” Shamsul berjanji akan memenuhi permintaan Mazni. Mereka berdua sudah dianggap seperti saudara kandungnya sendiri.


“Ina!”
Arina menoleh tatkala terperasan ada suara memanggil namanya. Abang Shamsul! Bergema nama itu dalam hatinya. Dia mengekori pergerakan Shamsul melalui ekor matanya. Menanti hingga Shamsul tiba di tempat dia berdiri menunggu ketibaan ayahnya untuk pulang.
“Boleh kita bercakap sekejap?”
“Sejak bila abang kena minta izin nak bercakap dengan saya?” Arina mengusik seraya tertawa kecil.
“Sejak Ina mula membisu dan menjauhkan diri hingga menimbulkan keresahan di hati sahabat yang mengambil berat. Kenapa Ina?” serius tona suara Shamsul menyentap tangkai hati. Sekilas dia menghantar sebuah renungan kepada Shamsul.Shamsul menjadi penunggu setia menanti jawapan yang bakal lahir dari seulas bibir milik Arina. Sedikit pun dia tidak berganjak. Tidak betah menangkis renungan tajam milik sepasang mata lelaki yang sudah dianggap seperti saudara kandung sendiri, Arina segera melarikan pandangan ke arah lain.
“Ina masih malu dengan kejadian semalam?Ina masih marahkan abang sebab tak tolong buat filtering?”
“Ina tak marah abang. Abang jangan salah sangka pula. Ina tak terlintas pun nak ambil hati sampai macam tu sekali!” sedikit keras Arina menjawab asakan soalan bertubi-tubi. Cukup membuatkan dia terkilan dengan anggapan Shamsul terhadapnya.
“Ina, dalam hidup ni kita mesti berani berdepan dengan apa jua kondisi. Gembira, sedih,kejayan dan kegagalan sama-sama bertindak mematangkan diri kita dan menjadikan hati kita lebih cekal. Menjadikan kita lebih berani. Jadikan perkara yang memalukan kita itu sekadar cebisan dalam hidup. Abang sendiri pernah berhadapan dengan peristiwa yang memalukan sepanjang abang bekerja di sini.” Arina memandang wajah Shamsul.
“Abang pun tertumpah minyak masa buat filtering ke?” soal Arina teragak-agak. Setahunya,hanya dia sahaja satu-satunya yang mencipta rekod membanjirkan dapur dengan minyak. Shamsul ketawa kecil. Dia melabuhkan punggung di atas batu yang berturap simen. Dia menepuk batu simen dengan lembut sambil matanya memandang Arina. Faham dengan kemahuan Shamsul, Arina mengambil tempat di sisinya.
“Lebih teruk daripada itu...”
Arina sekali lagi menatap wajah Shamsul dengan lebih dalam dan keliru. Dia menanti baris kata seterusnya yang akan meniti dari bibir lelaki ini...

Suasana kelam-kabut melanda dapur restoran hari ini. Para pelanggan memenuhi ruang premis tidak kira yang masih menikmati hidangan mahupun yang setia berbaris menanti giliran untuk membuat pesanan di kaunter. Tiada tanda menunjukkan kehadiran mereka akan surut. Krew-krew pula tidak menang tangan menangani pelanggan, memasak dan menyediakan hidangan dan tidak ketinggalan memastikan kebersihan premis kekal terpelihara. Semuanya harus dilakukan dalam masa yang sama. Walaupun tertekan dengan situasi yang cukup merimaskan,namun semua krew masih mampu mempamerkan riak wajah yang ceria untuk menarik hati pelanggan.
Shamsul selaku product controller juga turut sama mengerahkan anak buahnya supaya menyediakan produk yang mencukupi bagi menampung permintaan pelanggan yang smakin bertambah. Mujurlah pengurus premis sudi turun padang untuk membantu. Ringan sedikit beban yang harus digalas apabila tugas yang perlu dilakukan bersendirian kini terbahagi dua.
“PC,one Mc Egg!Without cheese,ya!”
“Ok,thank you!” Shamsul menyahut sebagai tanda pesanan telah diterima dari pihak kaunter. Melihatkan keadaan anak buahnya yang tidak cukup tangan bekerja, nalurinya menyalurkan perasaan simpati. Dia ingin turut membantu dalam proses penyediaan tetapi dihalang oleh pengurus yang memintanya agar meneruskan sahaja kerja-kerja pembungkusan produk. Mahu membantah,namun dia tidak punya kuasa untuk meneruskan niatnya.
“Shamsul,Mc Egg tak siap lagi ke? Customer tu dah lama tunggu.” Lydia bertanya kepada Shamsul yang sibuk membungkus produk.
“Ayu,Mc Egg yang aku pesan suruh buat tadi dah siap ke belum?” Shamsul berteriak sambil menghalakan pandangannya ke arah seorang gadis yang sedang memulas botol berisi pickles.
“Alamak,Shamsul. Tak buat lagilah. Aku tengah sediakan grill order ni. Aku minta tolong Lan tadi tapi tak tahu dia menghilang ke mana. Sorry!” Ayu memohon maaf kerana mengabaikan permintaan Shamsul. Dia sendiri tak tertanggung menyediakan produk seorang diri. Sepatutnya ada 2 orang krew yang akan bersama menggalas tanggungjawab tetapi kelibat mereka lesap tanpa bekas. Keletihan yang menjalar ke seluruh badan membuatkan dia sedikit naik angin dengan teriakan Shamsul. Ingat aku robot nak suruh berkejar ke sana sini? Malaun 2 ekor ni memang nak kena penumbuk sulung aku. Dah tau pelanggan ramai waktu macam ni, suka hati mak bapak diorang main ‘blah’ je. Sekurang-kurangya beritahulah ada hal ke,datang lambat ke. Betul-betul menyusahkan orang. Semua rungutan tersebut terpendam dalam sekeping hati milik Ayu yang sudah hilang keayuan ditelan amarah yang membuak-buak.
“Sorry Lydia, aku buatkan sekarang.”
“Thanks Shamsul,sorry for troubling you. But I’m afraid he will lose his temper,meanwhile he is one of our regular customer. Manager mesti marah kalau tahu kita lambat buat order dia.” Jelas Lydia dalam keadaan serba salah. Mr Wong merupakan pelanggan setia restoran makanan segera kelahiran USA ini dan merupakan kenalan baik kepada pengurus. Seandainya Mr Wong melaporkan tentang perkara ini kepada pihak atasan,tentu tindakan tegas akan diambil. Lebih malang kalau dibuang kerja. Kebanyakan para pekerja disini merupakan mahasiswa UPM yang mengambil inisiatif melakukan kerja separuh masa bagi menampung kos sara hidup. Baik yang tinggal di dalam kampus ataupun menyewa di kawasan perumahan berhampiran. Bergelar mahasiswa di universiti yang terletak di bandar menuntut perbelanjaan yang tidak sedikit. Apa sangatlah yang boleh dibeli dengan wang pinjaman yang diperolehi setiap semester. Semester belum berakhir, wang telah habis dibelanjakan untuk pelbagai tujuan.
Shamsul meninggalkan ruang pembungkusan dan beralih ke ruang penyediaan produk. Kekalutan Ayu memancing simpati Shamsul untuk membantu. Dia sendiri hairan kenapa Ayu sendirian sahaja menguruskan semuanya sedangkan berdasarkan jadual tugas ada 3 orang termasuk Ayu akan bertugas di dapur. Selepas keadaan reda,baru aku cek jadual siapa yang curi tulang. Mencari nahas betul! Dia berbicara pada diri sendiri. Arahan pengurus sebentar tadi terpaksa dia ingkari. Mana mungkin dia membiarkan Ayu sendiri menyediakan produk untuk para pelanggan yang sudah memenuhi separuh kawasan premis. Bertindak mengikut keadaan, itulah prinsip yang dipegang oleh Shamsul.
Sebiji telur dicapai lantas dipecahkan kulitnya menggunakan pisau yang terdampar di atas meja dressing. Cairan berwarna kuning dan putih dimasukkan ke dalam bekas khas. Telur akan dimasak dalam lingkungan masa 3 minit. Sedikit air dimasukkan bagi membolehkan telur tersebut dimasak dengan sempurna. Sementara menantikan telur tersebut siap, dia menyediakan ban roti dan melakukan dressing. Setelah meninggalkan pesan pada Ayu supaya mengambil alih tugas tersebut, dia kembali ke kaunter penyediaan produk. Apabila pandangannya bertembung dengan Lydia, dia memberi isyarat bahawa pesanannya akan sedia dalam masa 3 minit. Lydia mengangguk tanda mengerti.
Selang beberapa minit Lydia kembali didatangi Mr. Wong.Perasaannya berderau apabila lelaki itu memaparkan air muka yang kurang menyenangkan. Pasti tidak puas hati dengan perkhidmatan hari ini ekoran pesanannya yang satu itu masih tidak kunjung tiba di tangannya. Namun begitu, Lydia menguatkan semangat dan memaniskan muka menerima kunjungan lelaki berbangsa Tionghua di kaunternya. Waima apa yang terjadi sekalipun, pelanggan setia harus ditatang bagai minyak yang penuh.
“Yes Mr Wong, may I help you sir?” dengan senyuman yang merekah di wajah,Mr Wong disapa lembut.
“I’ve been waiting for 15 minutes and yet I still didn’t get my order. I just ordered one piece of Mc Egg only,not the whole menus of this restaurant!” air muka Lydia berubah tatkala dirinya diherdik sebegitu rupa di depan krew serta pelanggan yang masih berbaris menanti giliran. Maruahnya seakan ditelanjangkan tanpa belas. Butiran jernih telah memenuhi kolam matanya,hanya menanti saat untuk mengalir menuruni lurah pipinya. Aku tidak akan sekali-kali menunjukkan kelemahan aku di hadapan semua orang. Aku harus bersikap profesional. Aku tak akan kalah dengan tengkingan picisan lelaki ini! Lydia berusaha menyalurkan kekuatan dalam diri untuk menghadapi dugaan ini.
“Maafkan saya Mr. Wong atas keterlewatan pihak kami. Pesanan Mr. Wong akan dihantar sebentar lagi. Sekali lagi saya mohon maaf.”
“Huh!” diiringi rengusan keras, Mr. Wong kembali ke tempat duduk asalnya. Tanpa mempedulikan panahan renungan tajam bak belati yang merobek hati yang dihadiahkan Mr. Wong, Lydia berpaling ke belakang. Air mata yang ditahan sejak tadi jatuh berhamburan. Seumur hidupnya inilah kali pertama maruahnya direndahkan martabatnya. Dia menyeka air matanya dan berlalu ke dapur. Shamsul menghampirinya yang tersandar di dinding. Dia perlu bertenang seketika sebelum kembali menyambung tugas yang tergendala. Nafasnya terasa sesak akibat menahan tangis yang mengasak dada.
“Lydia,aku minta maaf. Sebab aku kau kena marah dengan Mr. Wong.” Lydia tersentak apabila bahunya disentuh. Dia tersenyum lemah sambil mengusap air mata yang laju membasahi pipi.
“Tak apalah Shamsul. Dah siap ke? Boleh aku hantarkan kat singa lapar tu?”
“Tadi aku dah suruh Ayu buatkan. Nanti ye.” Shamsul kembali ke tempat penyediaan produk. Dressing yang dilakukannya ke atas roti masih seperti sebelumnya. Kosong. Mana telurnya? Takkan tak masak lagi?
“Kau tak tekan butang ‘on’ tadi. Aku baru perasan tadi,terus aku ‘on’ kan.” Ayu menjelaskan sebelum sempat dia mencari jawapan kepada persoalan. Aduh, kenapalah aku boleh terlupa? Shamsul menepuk meja meluahkan perasaan kesalnya. Terbayang di layar matanya amarah yang bakal meletus seandainya dia memberitahu apa yang terjadi kepada Lydia. Takkan aku nak biarkan Lydia ditengking lagi atas kesalahan aku? Ya Allah,kuatkan semangatku,lindungilah hambaMu ini Ya Allah! Dia merintih memohon Azzawajalla menganugerahkannya kekuatan untuk berhadapan dengan kemelut tidak terduga ini.
“Kenapa?”Lydia terus menyoal Shamsul apabila melihat raut wajahnya yang muram.
“Mana Mr Wong? Aku nak jumpa dia.” Antara dengar dan tidak permintaan Shamsul membuahkan rasa curiga di hati Lydia. Buat apa pula Shamsul nak menempah maut jumpa singa lapar tu? Dalam diam sempat Lydia memberi gelaran tidak rasmi kepada pelanggannya.
“Dia ada kat depan tu. Tapi kenapa? Biarlah aku yang hantarkan order dia,kau stay je la kat kitchen tu.” Usul Lydia tidak dihiraukan malah Shamsul makin melajukan langkahnya ke ruang lobi. Biarpun hatinya meronta untuk tidak berhadapan dengan Mr. Wong, namun akalnya lebih pantas bertindak demi kemanusiaan dan atas dasar tanggungjawab, dia sesekali tidak akan lepas tangan dalam soal ini. Kesalahan yang dilakukannya tidak akan dibebankan di atas bahu orang lain lebih-lebih lagi rakan setugasnya.
“Mr. Wong, sorry for disturbing your reading sir.” Shamsul menegur pelanggannya dengan nada merendah diri. Memang begitulah yang selalu diamalkan tatkala berhadapan dengan pelanggan. 3 prinsip asas yang diterapkan pada kesemua krew;greetings,smiling and thank you. Tanpa segaris senyuman, mata lelaki Cina itu tajam merenung ke arah Shamsul. Lydia yang berdiri bersebelahan dengan Shamsul kecut perut melihat wajahnya yang tegang. Saling tak tumpah garangnya seperti harimau yang bersedia untuk membaham mangsanya.
“Hmm” hanya itu sahaja perkataan yang keluar dari mulut Mr Wong. Lembaran suratkhabar yang ditebarkan dilipat semula lalu diletakkan di atas kerusi kosong di sisi. Shamsul mula mencari-cari ayat-ayat yang sesuai untuk menyejukkan hati Mr Wong atas keterlewatan pesanannya.
“Sorry again,Mr Wong. About your order, I’m afraid you have to wait for another 10 minutes. We experienced a difficulties just now. Would you mind to wait?” selesai sahaja ayat terakhir, Mr Wong terus berdiri dari tempatnya. Lydia dan Shamsul berundur sedikit ke belakang apabila tubuh mereka berdua hampir-hampir bergesel dengan tubuh Mr Wong.
“I’ve been waiting for 20 minutes and yet you still want me to wait for another 10 minutes? This is ridiculous! Just for one Mc Egg?Nonsense! Just cancel my order. I don’t have much time left.” Dengan kasar, dia menolak kerusi yang didudukinya lantas keluar dari premis dengan perasaan tidak puas hati yang berbuku. Suara Mr Wong yang lantang mengundang semua yang ada di restoran tersebut menghantar pandangan penuh persoalan terhadap Shamsul dan Lydia. Ada yang berbisik sesama sendiri,ada yang menggeleng kepala kesal dengan sikap terburu-buru lelaki tersebut. Para krew pula memancarkan wajah simpati yang tidak bertepi.
“Shamsul,bos panggil.” Teragak-agak suara yang keluar dari mulut Azlan. Belum reda lagi perasaan malu yang menyelubungi diri Shamsul, kini dia terpaksa mengadap bos besar pula. Semakin berkecamuk fikirannya saat itu. Adakah dia bakal dikenakan tindakan di atas sikap biadap lelaki Cina yang merupakan pelanggan setia itu? Adakah kerana mahu menjaga hati pelanggan maka dia harus membayar natijah atas perbuatannya?
“Shamsul.” Terlalu jauh dia berbicara sendiri hingga tidak menyedari sebaris namanya dipanggil Lydia. Dia tahu Lydia risaukan dirinya. Wajahnya sudah cukup melukiskan apa yang tersirat di hati.
“Tak apa, aku pergi dulu. Kau sambunglah balik kerja kau,okey?” Lydia mengangguk lemah. Shamsul melangkah menuju ke bilik pengurus. Setelah pintu diketuk, dia diarahkan masuk.
“Apa yang dah jadi kat depan tu Shamsul? Kenapa customer kita marah-marah sampai satu restoran dengar? Servis kita tak memuaskan ke?”
“Maaf Encik Arip, ini semua salah saya.” Shamsul menceritakan apa yang berlaku hingga mencetuskan kemarahan pelanggan sebentar tadi. Encik Arip mendengar cerita Shamsul dengan khusyuk sekali. Tidak sesekali dia mencelah. Itulah kelebihan Encik Arip. Beliau akan mendengar dahulu hingga akhir sebelum membalas dengan cara yang sepatutnya. Untuk mengekalkan reputasi dan menjaga hati, Encik Arip mencadangkan agar Shamsul menghantar pesanannya secara percuma ke pejabat Mr Wong yang terletak di tingkat atas premis mereka.
“Masa abang hantar pesanan tu, Mr Wong terima ke? Kan sebelum tu dia marah-marah.” Soal Arina setelah mendengar pengalaman Shamsul.
“Mula-mula dia macam marah, tapi lepas tu dia pula yang minta maaf atas kekasaran dia. Mungkin sebab dia tak sangka abang akan buat free delivery kat pejabat dia agaknya. Api yang marak,jangan disimbah lagi dengan minyak. Nanti bertambah marak,susah nak padam. Kita biarlah bertindak sebagai air yang menyejukkan. Sabar, itu yang paling penting. Ada faham adik manis?”
“Faham cikgu!” Arina berlagak seolah-olah seperti anak murid yang mengiyakan kata-kata gurunya.
“Dah tak rasa rendah diri lagi? Boleh buat selamba je lepas ni?” Shamsul pula ingin menguji Arina. Sengaja ingin menduga apakah ceritanya tadi dapat meninggalkan sedikit motivasi pada diri gadis genit ini untuk menjalani hari-hari penuh cabaran.
“Ina cuba dan setiap kali Ina rasa macam tu,Ina akan ingat Mr Wong yang bertukar jadi singa lapar hanya kerana Mc Egg!” Arina ketawa berdekah-dekah. Geram dengan Arina yang seperti tidak mengambil serius dengan apa yang disampaikannya sebentar tadi,Shamsul menarik tudung yang membaluti kepala Arina. Tudung yang melitup rapi kini sudah beralih kedudukannya.
“Apa abang ni,tarik tudung Ina. Habis senget!” Arina menjerit marah. Shamsul pula melontarkan tawanya menambahkan rasa sebal di hati Arina. Tak apa,nasib abah dah sampai kalau tak,tahulah aku nak balas apa! Arina mengomel sendiri sambil mulutnya terkumat-kamit menahan marah.

No comments: