Wednesday, March 19, 2008

Meniti Pengalaman Pertama (BAB 5)

Hari ini dia bertugas seorang diri tanpa Mazni. Temannya itu telah diaturkan untuk bertugas syif malam. Arina pula memulakan syif petang. Tepat jam 12 tengah hari dan berakhir pada jam 7 petang. Dia membayangkan pasti harinya sunyi dan membosankan Ada juga dia teman berbual kalau Mazni ada. Dengan krew lain, dia masih belum mesra. Sikap pendiamnya itu memang telah sebati dari zaman persekolahan lagi.
“Masuk senyap je Ina? Tak greet ke?”suara Kak Meera mengejutkan dia dari lamunan. Ah, terlalu jauh aku berangan,tak sedar dah masuk ruangan kaunter,hatinya berbisik kesal. Dengan tersipu-sipu dia mengucapkan selamat tengah hari kepada krew yang bertugas. Sapaannya dibalas. Begitulah protokol yang harus dipatuhi setelah sah bergelar krew restoran Mc Donald. Bibir harus basah dengan senyuman dan ucapan selamat menjadi kewajipan setiap kali hadir ke tempat kerja.
Langkahnya diatur perlahan menuju ke ruang rehat. Beg sandang yang tergalas di bahu kiri diletakkan di kabinet yang sememangnya tersedia untuk kemudahan para krew menyimpan barang masing-masing. Matanya melirik ke arah jam dinding. Masih ada 5 minit sebelum tugas bermula. Terdetik pula di hati untuk menyemak jadual tugas untuk hari ini. Siapa yang bakal bergandingan dengannya di dapur hingga ke pukul 7? Satu persatu nama yang tertera di papan putih diteliti. Wajahnya berubah kelat tatkala melihat satu nama yang cukup dikenalinya. Aduh,dengan Kak Ogy lagi ke? rungutnya dalam hati. Terasa pudar semangatnya untuk menjalankan tugas hari ini. Entah kenapa dia kecut perut setiap kali ada Kak Ogy. Mungkin kerana sikapnya yang agak keras dan terlalu berterus-terang tanpa memikirkan perasaan orang lain. Dia selalu dikatakan lembab atau ‘slow’ ketika melakukan tugas. Mungkin Kak Ogy menganggap itu sekadar gurauan,namun hatinya sakit setiap kali dilemparkan kata-kata itu lebih-lebih lagi di hadapan krew-krew lain. Seperti maruahnya dipijak tanpa harga. Hatinya sedikit berbunga apabila terpandang nama Azlan yang turut bertugas dengannya. Sekurang-kurangnya tidaklah dia tertekan terperap dalam jangka masa lapan jam di premis.
“Ha,termenung! Ingat buah hati ke?” terkejut Arina bila disergah secara tiba-tiba. Dia menolah lantas terlihat Azlan yang sedang rancak ketawa melihat riak wajahnya. Mujur dia tidak melatah. Dia mengurut dadanya untuk meredakan debaran yang hebat dirasainya.
“Kurang asam la kau, Lan. Terkejut aku. Kalau aku ada lemah jantung, dah ‘jalan’ gamaknya.” Ujar Arina sedikit bertempik dengan raut tidak puas hati tergambar jelas di wajah. Azlan hanya ketawa lagi. Geli hati melihat wajah Arina yang memuncungkan bibir mungilnya. Mukanya merah menahan geram.
“Janganlah marah Ina. Aku tengok kau tu khusyuk semacam merenung white board tu. Aku panggil kau buat bodoh je. Jadinya, tak salah aku menyergah engkau untuk mengembalikan kau ke alam nyata. Dah lama sangat kau di alam khayalan tu. Nanti tak balik-balik susah pula aku nak kena panggil bomoh,” saja dia menggiat teman sekerja yang hampir seminggu dikenalinya itu. Niatnya ingin merobohkan benteng malu yang memagar kukuh si empunya diri supaya mereka dapat bekerjasama dalam suasana santai. Bekerja di tempat yang tertutup dan hangat seperti di dapur pasti memerlukan kosentrasi dan kesabaran yang tinggi. Oleh itu, suasana riang dan hubungan yang mesra harus diwujudkan antara krew untuk mengelakkan keadaan menjadi tertekan atau tegang. Itulah prinsip yang diamalkan Azlan dan sememangnya dia disenangi oleh rakan-rakan lain lantaran sikapnya yang lucu dan mudah mesra. Ada saja mangsa yang disakatnya,namun mereka tidak pernah ambil pusing dengan usikannya.
Arina hanya menggelengkan kepalanya mendengar bicara daripada mulut Azlan. Memang ada saja jawapan Azlan. Tak guna dia melawan kata,sudahnya nanti dia sendiri yang tidak mampu membalas.
“Terima kasih la Lan. Membawa aku pulang semula ke alam nyata. Lan, nanti kau ajar aku bahagian grill ye. Aku tak sempat nak belajarlah. Aku asyik kena buat bahagian vat je.” Pinta Arina. Azlan memandangnya dengan pandangan hairan.
“Kak Ogy tak ajar kau ke?”Arina menggeleng sebagai membalas soalan Azlan. Tak dapat dibayangkan kalau Kak Ogy yang melatihnya. Pasti dia makan hati berulam jantung menelan kata-kata pedas yang acapkali meluncur keluar dari bibir gadis itu.
“Okey,nanti aku ajar kau. Tak susah sangat. Sebelum tu, nah. Pakai ini ye cik adik,”Azlan menyerahkan sehelai apron buat Arina. Ah,macam mana aku boleh terlupa nak pakai benda alah ni,Arina mengomel. Dia mencapai apron yang dihulurkan. Sebaik sahaja dia memakainya, Arina bergerak ke sinki pula untuk mencuci tangan diikuti Azlan di belakangnya. Selesai, mereka berdua menyarungkan tangan masing-masing dengan sarung tangan plastik.Satu lagi protokol yang wajib dipatuhi.
“Hai Lan,lama tak jumpa kan?” suara lembut seorang wanita membuatkan Arina dan Azlan mengalih pandangan ke sisi.
“La,Kak Ha! Amboi,akak. Lama cuti,kahwin senyap-senyap ke? Tak jemput saya pun. Nak merajuklah ni,lupa kekasih lama. Dah dapat gading bertuah, lupa kat tanduk ni.” Azlan pura-pura memasamkan muka seolah-olah merajuk. Wanita yang dipanggil Kak Ha hanya ketawa kecil. Terserlah lekuk lesung pipi menambah manis wajahnya yang bersih tanpa cela. Jerawat pun seakan segan ingin tumbuh. Terpana Arina seketika. Cantik,Arina memuji dalam diam. Sedangkan dia yang perempuan turut mengagumi kejelitaan wajahnya, apatah lagi insan berlawanan jenis. Pasti ramai yang cuba memikat.
“Mengada-ngadalah Lan ni akak ada hal keluarga yang harus diselesaikan tau. Tunang-tunang, kahwin-kahwin tak masuk senarai aktiviti tahun ini. Eh,krew baru ya?” dia menegur apabila terpandang seorang gadis di sisi Azlan. Amat asing pada pandangannya.Arina sedikit tersentak tatkala diajukan pertanyaan. Ralit sungguh dia memerhati.
“Ya,dia baru masuk minggu lepas. Nama panjang dia Arina,nama pendek Ina.” Azlan terlebih dahulu memperkenalkan dirinya sebelum sempat dia bersuara. Arina cuma mengangguk tanda mengiyakan.
“Sibuklah Lan ni. Akak tanya dia,kenapa awak pula yang jawab?”
“Buat pengetahuan akak,saya telah dilantik sebagai wakil untuk menjawab segala pertanyaan bagi pihak Arina. Dia pemalu,kak. Jadi,sayalah jurucakapnya,”Azlan tersengih-sengih sambil menoleh ke arah Arina yang mencebikkan bibir.
“Jangan dilayan sangat Lan ni Ina. Dia memang loyar buruk. Nama akak Israuha,panggil saja Kak Ha. Akak pun assistant manager macam Kak Meera,cuma junior lagi dari dia. Akak pun nak minta diri dulu. Lan,jangan nak sakat Ina ni lebih-lebih,”Kak Ha memberi amaran dalam nada bergurau. Dia menghulurkan tangan untuk berjabat. Segera disambut Arina dengan senyuman senang.
“Saya kak?”Azlan menghulurkan tangannya pula seolah-olah ingin bersalaman. Kak Ha menjengilkan matanya yang bundar tanda geram dengan perilaku Azlan yang masih belum berhenti mengusik. Ketawa besar Azlan melihat reaksi Kak Ha.
“Kak Ha tu sepupu aku,” beritahu Azlan setelah Kak Ha beredar meninggalkan mereka.
“Oh,patutlah mesra semacam,”ujar Arina. Namun dia pelik tatkala melihat Azlan mengulum senyum seperti menahan tawa.
“Kau percaya ke?”tanpa menunggu lama satu tamparan singgah di bahu Azlan. Menyeringai dia menahan kesakitan sambil mengusap bahunya yang perit terkena penangan Arina. Dia perasan mata Arina mencerlung seolah ingin menelannya. Bibirnya diketap geram. Tetapi tidak berapa lama wajah yang merah menahan merah beransur bertukar kepada pandangan simpati. Kekesalan mula menghuni hati Arina. Kuat sangatkah pukulan aku tadi?soalnya sendiri.
“Sakit ke Lan?Maaf,aku tak sengaja. Geram aku dibuat kau,”perlahan Arina bersuara.
“Sakit tu sakit juga. Tapi lebih kepada sedap,” Azlan membalas. Bulat kedua mata Arina mendengarnya. Bimbang dipukul lagi cepat-cepat Azlan bersuara,”Dah tu.Jangan marah. Okey,aku tamatkan sesi gurauan kita untuk hari ini. Transisi dari mood main-main ke mood serius akan bermula sebaik sahaja kita masuk ke dapur. Bersedia? Jom kerja,” mereka berdua beriringan masuk ke ruang dapur. Kelihatan Shafiq dan Lydia sedang sibuk menyediakan hidangan. Terpandang saja tubuh Kak Ogy mengundang debaran di hatinya. Dia juga sibuk membungkus makanan dan mengaturnya ke dalam tray khas. Mujur Kak Ogy tidak melihatnya masuk agak lewat. Hari ini entah apalah yang akan dilaluinya. Pandangannya dilemparkan ke arah ruang lobi restoran. Tidak hairanlah keadaan agak kelam kabut,pelanggan sudah ramai berbaris. Tak menang tangan krew di kaunter hendak melayan. Kak Meera sendiri terpaksa turun padang.
“Lydia, biar aku sambung. Syif kau dah habis kan?”Arina menawarkan bantuan tetapi ditolak dengan lembut oleh Lydia.
“It’s okay,Ina. Lagi setengah jam baru aku habis. Mungkin kau boleh cek stok barang kemudian refill. Aku rasa sos dalam freeze macam dah kurang,” Lydia mengusulkan.
“Kalau macam tu,baiklah. Aku akan stock up apa-apa yang patut,” ujar Arina lantas berlalu ke ruang belakang menghala ke tempat simpanan barang. Azlan sudah mulai sibuk di grill. Walaupun dia merupakan despatch, namun untuk hari ini dia diarahkan bertugas di dapur. Muazam kini menggantikan tempatnya untuk hari ini kerana premis menghadapi masalah kekurangan krew di dapur. Cekap dan tangkas,serius bila melakukan kerja,itulah pandangan Arina tatkala melihat Azlan. Ingin sekali dia menyakat tapi melihatkan wajah Azlan yang serius,terus dibatalkan saja niatnya. Ah,aku sendiri ada tugas yang harus dibereskan,Arina mengingatkan dirinya.
Arina menyelak tirai plastik yang menutupi sebuah bilik kecil yang dipanggil cooler yang menempatkan stok barangan mentah seperti ayam tepung. Suhu bilik tersebut agak kurang sejuk berbanding freezer.Matanya tertancap pada barisan bekas sos yang kosong. Ada 6 biji bekas kesemuanya. Semua bekas tersebut diangkat lalu diletakkan ke sinki. Kemudian dia masuk semula ke ruang dapur untuk memeriksa stok sos mana yang kehabisan. Peti kecil di sisi meja PC ditarik pintunya. Hanya tinggal 4 botol sahaja yang berisi. Ada baiknya aku refill semua jenis sos. Tidaklah kelam kabut nanti di waktu puncak, Arina berkata sendiri.
Dia kembali ke sinki. Botol-botol kosong tadi dicuci sebersihnya sebelum diisi semula. Kemudian dia berjalan ke bilik simpanan stok untuk mengambil sos-sos pelbagai jenis yang telah siap dipek dalam bungkusan khas. Arina mencapai 2 pek sos Mc Chicken,
2 pek sos Filet O Fish dan 2 pek sos Big Mac. Kesemua pek tersebut dilambakkan ke dalam sinki yang kering. Gunting yang tersangkut di dinding digapai lantas dipotong pek sos tersebut untuk dikeluarkan isinya dan dimasukkan ke dalam botol satu persatu.
“Ina! Tolong ambilkan akak kertas pembalut burger!” jeritan nyaring Kak Ogy menusuk ke gegendang telinga sekaligus membantutkan pekerjaannya. Ish, buat terkejut aku je. Arina mencuci tangannya sebelum melaksanakan arahan. Langkahnya diatur sepantas mungkin menuju ke stor simpanan barang. Anak matanya yang hitam pekat melata ke serata rak yang berdiri tinggi di hadapannya. Kat mana pulak diorang letak pembalut ni? Menyusahkan aku betullah! Arina membentak. Kakinya dijengketkan sedikit untuk melihat di para yang lebih tinggi. Ah, itu dia! Tangannya cuba menggapai pek bungkusan namun tidak kesampaian. Terlalu tinggi untuk dicapai gadis serendah dirinya. Mujur dia terlihat sebuah kerusi di balik pintu stor. Dia menarik kerusi tersebut dan meletakkannya di depan rak. Dengan penuh hati-hati dia meletakkan kakinya dan cuba mengimbangi diri agar tidak terjatuh. Sebaik pek bungkusan tersebut berada dalam genggamannya, perlahan dia melangkah turun dan membimbit pek tersebut di bawah lengannya pula.
“Nah,ini dia kertas pembalut yang Kak Ogy minta,”
“Aduh,lambatnya! Ambil kertas ke cetak kertas?” kak ogy merenggut pek bungkusan yang dihulurkan dengan kasar. Arina terkejut dengan reaksi teman setugasnya. Dia memerhati kak ogy mengoyak plastik yang memuatkan kertas pembalut pelbagai jenis. Pada mulanya dia ingin memohon maaf, tetapi niatnya terencat. Terus dia berpaling meninggalkan ruang PC. Aku dah tolong ambil, bukannya reti nak berterima kasih. Lagi nak perli aku. Wajah Arina masam mencuka. Serasa ingin sahaja dia melempar botol-botol kosong di hadapannya sekarang. Arina menyambung kerjanya mengisi sos yang tergendala sebentar tadi ditemani hati yang bengkak.
Azlan yang sedang membuat dressing Big Mac mencuri pandang telatah teman barunya. Dia turut kesal dengan sikap Kak Ogy yang selalu terlepas kata. Lydia juga turut perasan akan insiden tadi tapi dia sendiri tak mahu ambil pusing akan perkara itu. Sudahnya, dia dan Azlan saling berpandangan dan mengangkat bahu tanda tidak tahu apa yang harus dibuat. Haruskah mereka memujuk Arina? Sekali lagi Azlan melirik pada Arina yang kelihatan sibuk di sinki. Muka Arina berkerut. Menahan perasaan barangkali. Ingin dia memujuk sebagai kawan, namun keadaan tidak mengizinkan. Dia sendiri terlalu sibuk menyediakan permintaan pelanggan. Sekejap lagilah aku slow talk dengan dia, Azlan membuat keputusan.
Semua burger Big Mac yang telah sedia dihantar ke kaunter PC, tempat di mana Kak Ogy bertugas. Seterusnya menjadi rutin Kak Ogy sebagai PC memasukkan burger-burger tersebut ke dalam kotak bungkusan khas. Setelah itu, semua burger yang siap dibungkus akan diletakkan ke dalam bin bagi membolehkan krew di kaunter mengambilnya untuk diberikan kepada pelanggan.
Arina menyimpan kembali botol-botol sos yang telah diisi semula ke tempat asal. Apabila dia menoleh, Azlan menggamitnya agar datang kepadanya.
“Kenapa?”soal Arina tatkala dia menghampiri Azlan.
“Kecil hati dengan Kak Ogy?” Azlan membuat tekaan.
“Tak adalah.” Jawab Arina malas. Dia tidak mahu memanjangkan insiden tersebut. Sakit hatinya biarlah dia yang menanggung. Orang lain tak perlu ambil tahu. Azlan tersenyum sinis kerana dia tahu Arina berbohong.
“Sabarlah. Dia memang macam tu. Lama-lama kau akan biasa. Aku dulu pun macam kau juga masa baru-baru masuk. Jom, tolong aku stock up patties.” Arina mengekori Azlan menuju ke freezer. Sebaik pintu freezer dibuka, wap dingin ais beku menerpa wajah mereka berdua.
“Sejuknya!”Arina berkata sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam.
“Sejuk? Nama pun freezer. Memang saja aku ajak kau ke sini. Nak padamkan api kemarahan yang marak dalam hati kau tu. Kalau nak tahu, muka kau tu masam mengalahkan pickles yang aku letak dalam Big Mac tadi tau.”usik Azlan. Arina cuma tersengih menahan malu. Sampai macam tu sekali wajahnya diibaratkan. Mesti hodoh benar. Azlan membuka penutup peti sejuk beku dan mengambil 2 beg plastik beef patties manakala Arina sendiri mengambil 2 beg plastik Mc Chicken Patties.
“Eh,kenapa pintu ni tak boleh bukak Lan?” Arina berteriak cemas apabila pintu tidak mahu terbuka bila dia menolaknya.
“Ha,tak boleh bukak? Kau tolak tak kuat kot.” Azlan menolak pintu freezer menggunakan badannya. Cubaan pertama tidak berjaya. Dia mengumpul kudrat dan menghempas badannya ke pintu dengan sekuat tenaga. Cubaan kedua turut gagal. Hairan. Selalunya sekali tolak sahaja pintu sudah terbuka meskipun diakui pintu ini agak berat binaannya. Pasti ada orang yang menahan pintu ini dari luar,fikir Azlan.
“Tak boleh juga,Lan?” Azlan menggeleng. Arina mula merasakan kedinginan menjalar hingga ke tulang. Habislah, aku tak nak mati beku kat sini! Tak pasal-pasal jadi frozen meat Mc Donald,sungut Arina namun hanya bergema di dalam hatinya saja.
“Rileks,aku cuba lagi,” baru sahaja Azlan ingin melakukan cubaan ketiga, tiba-tiba pintu terbuka luas. Arina menarik nafas lega. Nasib baik ada insan yang tergerak hati untuk membuka pintu freezer ini.
“Ya Allah. Azlan? Arina? Apa yang korang buat berdua-duaan kat sini?” Muazam tersembul di muka pintu. Azlan menapak keluar dari bilik freezer dengan wajah selamba diikuti oleh Arina di belakangnya. Wajah Arina merah padam kesan ekoran terperangkap dalam freezer yang suhunya mencecah takat beku.
“Kot ye pun nak dating, carilah tempat yang bersesuaian sikit. Dalam peti ais pun jadi. Haha!” meledak tawa Kak Ogy dan Muazam. Azlan cuma menggelengkan kepala. Tahu sangat dengan hobi lazim mereka yang gemar menyakat. Dia cukup pasti ini angkara Muazam dan Ogy.
“Habis merah muka Ina, macam udang kena bakar. Kau ni tak patutlah,Lan.” Ujar Kak Ogy menguatkan lagi agenda usik-mengusik.
“Mesti gempak kalau jadi headline suratkhabar kan? Sepasang remaja belasan tahun ditangkap khalwat...di dalam peti ais!” kata-kata Muazam disambut dengan kekekan kuat Kak Ogy.Lydia yang sedari tadi menahan tawa tidak betah lagi mengawalnya dari meledak. Arina mengetap bibir dengan kuat. Ikutkan hati yang menggelegak, ringan saja tangannya ini ingin hinggap di pipi Muazam yang montel itu. Biar melekat ‘cop mohor’ 5 jarinya di situ sebagai peringatan agar tidak memperlekehkan dirinya. Tapi mana mungkin dia seberani itu menampar anak orang. Uh!
“Dah la tu Muazam. Kau sehari tak menyakat tak sah. Ina dah marah tu. Baik kau minta maaf.” Azlan bersuara bagi menghentikan Muazam daripada terus-terusan menjadikan dia dan Arina bahan gurauan. Budak tu baru nak elok anginnya, Muazam pula buat hal,Azlan merungut.
“Ya lah,Abang Muazam ni. Kalau diorang betul-betul terkunci tadi,kan susah kalau jadi apa-apa? Tak baik tau.” Lydia pula membela. Kasihan dia pada teman setugas barunya. Kak Ogy dan Abang Muazam memang begitu, selalu sangat bergurau tak kira sama ada orang itu boleh terima atau tidak gurauan mereka yang adakalanya agak melampau pada pandangan Lydia. Sewaktu Kak Ogy dan Abang Muazam ingin menjalankan ‘plan’ sebentar tadi, dia ada juga cuba menghalang. Namun tidak diendahkan.
“Okeylah,Abang Muazam minta maaf ye. Abang main-main je tadi. Maafkan abang ya? Please,forgive me 23 kali.” Mahu terburai tawanya melihat aksi dan mendengar ayat terakhir abang Muazam. Kedua-dua tangannya bersilang memegang kedua belah telinga lagak seperti ingin melakukan ketuk ketampi. Dengan wajah sedih yang dibuat-buat,geram betul Arina melihatnya. Ikutkan hati,memang ingin dia menyuruh abang Muazam melakukan ketuk ketampi 20 kali seperti zaman kanak-kanak. Kaedah yang paling popular digunakan oleh guru-guru dalam mendenda murid-murid sewaktu zaman sekolah rendah. Tapi itu bakal menjatuhkan maruah,mungkin juga memalukan. Abang Muazam bukan anak kecil lagi. Sudah boleh bergelar bapa budak.Ah,bukan besar sangat kesalahannya. Tak layak dibawa ke mahkamah pun.
“Sudahlah abang Muazam,pergilah buat kerja.” Arina bersuara. Muazam menarik nafas lega. Nasiblah dia tidak dikenakan hukuman. Kalau tidak entah apalah yang bakal berlaku.
“Macam tu je? Baik awak suruh dia buat ketuk ketampi Ina. Dia pun dah ready tu. Tunggu awak bagi ‘cue’ je.” Kak Ogy menyampuk. Muazam melirik tajam ke arah Ogy. Lebih sudu dari kuah pulak minah ni! Azlan dan Lydia sekadar menjadi pemerhati dan lebih senang bersikap atas pagar.
“Ogy, Ina bukan macam kau, dengki. Abang minta diri dulu ya. Minta restu,” Muazam menunduk lalu meletakkan tanganngya ke kaki Arina. Lagaknya seperti cara anak muda memohon restu ibu bapa atau orang yang lebih tua yang seringkali dipaparkan dalam filem Bollywood. Tidak menyangka dengan tindakan spontan Muazam, dia menarik kakinya ke belakang.
“Abang,kita bukan kat Bollywood tau. Main minta restu pulak. Ingat filem Hindustan ke?”
“Minta restu lagi~”
“Abang!” Mencicit Muazam berlari apabila Arina sudah berang dan cuba memukul belakangnya. Arina hanya berupaya memerhati hingga kelibat Muazam hilang dari pandangan.
Sepanjang hari Arina banyak belajar daripada Azlan berkenaan cara-cara penyediaan menu yang menggunakan grill. Seperti Shamsul,Azlan juga memang dikurniakan bakat mengajar dan mengambil hati. Sekurang-kurangnya hati ini terubat juga meskipun terpaksa sesekali menerima tempias ‘angin satu badan’ Kak Ogy.

No comments: