Tuesday, March 18, 2008

Meniti Pengalaman Pertama (BAB 4)

Hari Rabu. Bermakna telah genap 3 hari Mazni dan Arina menjalani sesi latihan berdasarkan fungsi yang telah ditetapkan awalannya. Jika diikutkan, terlalu singkat jangka masa latihan yang diperuntukkan pihak majikan buat pekerja pelatih yang masih hijau seperti mereka berdua. Makanya, selepas ini mereka berdua harus berdikari dan meminta bantuan krew-krew lainnya. Pendek kata, kini mereka tidak boleh lagi terlalu bergantung baik pada Shamsul mahupun Azlina.

Kedua-dua gadis remaja ini sedang leka menjalankan rutin harian mereka sewaktu Kak Meera memanggil mereka berdua berjumpanya di ruang rehat. Mereka tidak menunggu lama untuk menuruti permintaan Kak Meera.

“Macam mana latihan sepanjang 3 hari ini? Ada masalah?”soal kak Meera sebaik sahaja mereka sudah berada pada posisi selesa.

“Alhamdulillah kak. Buat masa ni saya boleh ikut apa yang diajar Azlina,”Mazni membalas. Keyakinan jelas terpancar di wajahnya.

“Arina pula?”Kak Meera mengalih pandangan ke arah Arina setelah mengulangi pertanyaannya.
“Emm..insya allah kak. Setakat ni saya baru diajar bahagian vat saja. Bahagian lain Abang Shamsul belum ajar lagi,”keluh Arina. Wajahnya sedikit keruh.

“Tak apa Arina,sekurang-kurangnya Arina dah tahu serba sedikit. Itu memadai untuk 3 hari ni. Latihan ini hanya untuk memberi masa buat kamu berdua menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan di sini. Memang tempoh 3 hari kita tak boleh nak capai kesemuanya. Jangan risaukan hal tu. Proses belajar tu tak tertakluk pada masa tertentu,tapi ia berlaku sepanjang kita di sini. Kalau ada yang tak faham,tanya. Krew-krew di sini pasti sedia membantu” Terangguk-angguk Mazni dan Arina mengiyakan bicara yang meluncur keluar dari mulut Kak Meera. Walaupun bergelar penolong pengurus, tidak pernah dia membataskan pergaulannya sesama krew. Semua dilayan sama rata sebagai rakan sekerja. Tidak sesekali dia memilih bulu. Menurut krew yang sudah lama di sini, sebelum menyandang jawatan sekarang,Kak Meera bermula sebagai krew biasa sahaja. Sama seperti mereka. Berkat kesungguhan dan sifat kepimpinan yang ada padanya,dan mungkin juga rezekinya,dia berjaya menjawat jawatan sebagai ‘crew leader’ dan seterusnya sebagai penolong pengurus.

“Jadi hari ini secara rasminya kamu berdua dilantik sebagai krew Mc Donald cawangan Serdang. Nah, sila sematkan setiap kali anda hadir bekerja,” mata mereka berdua tertumpu pada tag nama yang tertera nama masing-masing. Tag nama berwarna hijau terus dipinkan pada bahagian sebelah kiri bahagian atas dada.

“Sebagaimana yang kamu sedia maklum,kita mengamalkan sistem giliran atau syif. Sistem syif kita terbahagi kepada tiga bahagian, pagi, petang dan malam. Dan setiap sesi kamu wajib bertugas selama 8 jam. Jadi Arina dan Mazni kena bersedialah untuk bertugas sama ada pagi, petang atau malam. Sepatutnya tiada masalah tentang itu sebab akak dah beritahu semasa sesi temuduga hari tu kan?” mereka berdua menganggukkan kepala.

“Baiklah,itu sahaja yang akak nak cakap. Jadual tugas boleh disemak selewat-lewatnya Jumaat ini sebelum masuk minggu baru. Kalau nak buat pertukaran syif sebab ada masalah,beritahu akak dulu.okey,boleh sambung kerja,”

“Terima kasih kak,”Arina dan Mazni meminta diri untuk beredar. Arina runsing juga memikirkan seandainya dia harus bekerja malam. Siapa pula yang akan menghantarnya pulang? Ah,pasti ada penyelesaian,dia memujuk hati yang tidak keruan.

“Kenapa Ina?Macam susah hati je aku tengok?”teguran Mazni membangkitkan dia dari lamunan.

“Aku tengah fikir siapa lah nak hantar aku balik kalau kena kerja malam. Syif malam habis pukul 12 pulak tu,” Arina menyuarakan rasa kesahnya.

“Aku pun sama. Tapi kita cubalah bincang dulu dengan keluarga masing-masing. Insya allah kita bekerja di sini pun tak lama kan? Dapat tawaran universiti,kita cabut,”pujuk Mazni.

“Mudah-mudahan macam tu la. Harap-harap kita diterima masuk ke universiti. Aku risau betul bila fikirkan hal ni. Entah macam manalah result aku nanti. Entahkan lulus,entahkan gagal.” Kecut perutnya memikirkan keputusan peperiksaan akhir matrikulasi. Sudahlah 2 semester sebelumnya dia hanya berjaya mencapai purata markah sebanyak 2.92. Nampaknya cita-citanya untuk mendalami bidang perubatan terkubur begitu sahaja.

Perbualan mereka terhenti tiba-tiba bila mendengar suara memberi salam di kaunter. Seorang gadis berambut panjang berikat satu sedang berbual mesra dengan Azlina juga Kak Meera. Berpakaian seperti mereka,sudah pasti dia juga salah seorang krew di sini. Langkahnya diatur hingga sampai ke tempat mereka berdiri.

“Aik,ni siapa budak berdua ni Meera? Krew baru ke? Asal aku balik cuti je mesti ada krew baru. Kau dah tak nak aku kerja kat sini lagi ke?”pertanyaan spontan yang terbit dari bibir gadis itu membuatkan Arina dan Mazni rasa kurang selesa. Mulut dia ni tak ada insurans ke? Desis hati kecil Mazni. Tiada balasan daripada Kak Meera. Malas hendak melayan barangkali. Arina perasan yang Azlina menggelengkan kepalanya sambil tersenyum bila mendengar kata-kata gadis tadi. Mungkin sikap selambanya itu telah menjadi kebiasaan orang-orang di sini.

“Mana satu Arina?Mazni?” soal gadis tadi tanpa memandang mereka. Kelihatan dia sedang mengikat tali apron di bahagian belakang sambil menunduk. Tidak lama kemudian baru dia mendongak.

“Saya Mazni” terlebih dahulu Mazni memperkenalkan diri.

“Yang kecik ni Arinalah”. Dia membuat andaian. Arina mengangguk Identiti yang sudah ketara sinonim dengan dirinya.

“Nama akak Fauziah,tapi panggil je Kak Ogy.”Mereka berdua sekadar tersenyum.

“Assalammualaikum!!Eh,ada orang barulah,” tercegat di satu sudut seorang lelaki memandang tepat ke arah mereka berdua.

“Ha,mulalah nak menggatal tu. Dah,pergi buat apa yang patut! Cuti dahla lama sampai seminggu,kalah orang kahwin!” hendak terburai tawa Arina dan Mazni namun mereka tahan kerana tidak mahu lelaki itu tersinggung.

“Ala,kalau aku kahwin pun apa salahnya. Apa ingat orang gelap macam aku tak ada yang nak? Hitam itu menawan. Bak kata orang,hitam-hitam si tampuk manggis walaupun hitam dipandang manis,” gadis yang menggelarkan dirinya Ogy itu mencebik. Mereka berdua makin leka melihat mereka berdua beradu kata.

“Ha,budak 2 ekor ni pun. Apa tercegat lagi tu? Pergi buat kerja!” sergahan Kak Ogy membuatkan mereka terkulat-kulat. Mazni cepat-cepat mangatur langkah ke kaunter manakala Arina pula terus mencapai kain pengelap dan membersihkan apa-apa yang patut.

“Hai,nama abang Muazam. Kalau kak Ogy buli awak,beritahu kat abang ya. Siapa nama tadi?” Muazam berkata separuh berbisik. Mulutnya terasa dekat dengan cuping telinga Arina yang dilitupi tudung.


“Arina. Panggil Ina saja,”dia memperkenalkan diri.
“Amboi,sedapnya dia mengata aku. Ina jangan percaya cakap Muazam tu. Ulat bulu!” Rupanya bisikan Abang Muazam berupaya didengari oleh Kak Ogy yang sibuk mengisi semula stok kertas pembalut dan kotak bungkusan makanan. Biarpun tangannya ligat bekerja,namun telinganya masih dapat menangkap bicara Abang Muazam. Memang dasar telinga lintah.

“Tak sudah-sudah lagi ke Ogy,Muazam?Pantang jumpa asyik nak bertekak,macam anjing dengna kucing. Ogy, Ina tu baru 3 hari je kat sini. Banyak lagi dia tak tahu. Kau tolong tengokkan sikit. Ajar mana-mana yang patut. Kau jadi PC hari ni kan?” Kak Ogy tersengih malu bila Kak Meera menegurnya di hadapan Arina. Tidak ketinggalan juga Abang Muazam. Ingin tergelak pula Arina melihat mereka berdua ditegur begitu. Dah tua pun perangai masih macam budak-budak,Arina berkata di dalam hati. Hatinya sedikit gusar. Bolehkah dia bekerja di bawah seliaan Kak Ogy?

Buat kesekian kalinya jantungnya kini berdegup kencang.

No comments: