Wednesday, March 19, 2008

Meniti Pengalaman Pertama (BAB 7)

“Alamak,hari ni aku kena filtering?” Arina mendengus sewaktu meneliti jadual tugas yang terpapar di papan putih. Shamsul pernah mengajarnya dahulu, namun hanya sekali itu sahaja. Itupun sekadar menjadi pemerhati. Sedangkan hari ini, tugas yang dirasakannya berat itu terbeban di bahunya. Arina cukup tidak selesa memikirkan amanah yang harus dipikul. Mesin filter itu sahaja sudah cukup berat baginya. Antara tugas yang agak penting di restoran ini kerana ia berfungsi membersihkan minyak yang diguna pakai dari sisa-sisa terampai yang terhasil semasa menggoreng produk. Minyak yang telah digunakan ditapis semula melalui proses filtering dan hasilnya minyak yang jernih akan terhasil.

Arina beralih ke cermin panjang di sisi kanan papan putih. Ditenung wajahnya yang lesu tidak bermaya. Tak berseri langsung,no colours on my face,dia mengutuk diri. Bibirnya yang pucat dicalitkan dengan lip balm untuk melembapkan bibir yang kering sebelum disapu gincu bibir Bubbly Silky Girl. Puas dengan penampilan, dia melangkah masuk ke ruang kerja.

“Hai,”

“Hai,” sapaan Shamsul dibalas sepintas lalu. Dia mengenakan apron sebagai memenuhi rutin biasa di tempat kerja. Kain pengelap yang kusam menyesakkan pandangannya. Arina mengumpulkan semua kain-kain pengelap dari setiap stesen lalu dicampakkan ke dalam baldi. Dia mengangkat baldi tersebut dan meletakkannya di bawah pili air. Deruan air berlumba-lumba keluar dari mulut pili sedikit melekakan tumpuan Arina. Setelah dipastikan air sudah memenuhi sebahagian baldi,Arina menutup pili. Sedikit cairan sanitizer dicurahkan dan rendaman tadi dibiarkan buat seketika sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh. Kain pengelap yang bersih mengambil alih kain-kain kotor yang lembap dan berbau sebentar tadi. Barulah kebersihan terpelihara. Barulah hatinya puas dan seboleh-bolehnya dia tidak mahu Najib membebel meleteri krew dapur nanti kerana tidak menjaga ruang kerja dengan baik. Najib Huzaimi cukup pantang melihat kain-kain pengelap kotor tidak bercuci.

“Ina kena buat filtering hari ni kan?” tiba-tiba Shamsul bertanya. Arina yang baru selesai menukar kain pengelap sekadar mengangguk tanpa memandang wajah Shamsul. Kini dia sedang meneliti tarikh luput pada plastik pembungkus ban roti pula. Seandainya telah melepasi tarikh luput, dia harus menggantikannya dengan yang baru. Satu persatu tray yang memuatkan 6 bungkus plastik ban setiap satu diperiksa. Setelah yakin semuanya masih boleh digunakan, barulah dia menoleh ke arah Shamsul.

“Kenapa abang tanya?”soalnya pula.

“Tiada apa-apa. Ina masih ingat lagi ke? Sebab hari tu kan abang cuma tunjuk sekejap je.”Shamsul membalas.

“Sebenarnya kan...memang pun Ina tak ingat sangat. Kalau boleh nak minta tolong abang ajarkan Ina semula nanti.” Pintanya penuh harap. Shamsul yang membelakangkan diri terus memusingkan badannya mengadap Arina.

“Boleh,memang abang akan tolong pun sebab Ina kan baru lagi. Ina tak perlu risau. Dah, senyum sikit. Jangan fikir lagi.” Arina memerhati Shamsul dengan penuh tanda tanya. Bagaimana dia tahu aku risaukan hal tu? Bila kemusykilannya diajukan kepada Shamsul, dia hanya menjawab ‘rahsia’ sambil mengenyit mata kirinya. Tak menjawab soalan, hati kecilnya berbisik.

Meskipun Shamsul telah menawarkan diri untuk menghulur bantuan, itu tidak mampu menghuraikan perasaan bimbang yang menyelubungi dirinya. Tepat jam 3 petang, keresahannya makin hebat. Dia cuba berlagak tenang. Tiada apa yang hendak ditakutkan, Arina mendorong dirinya sendiri daripada berfikir yang tidak-tidak.

Hayunan langkahnya tidak bermaya menghala ke stor yang terletak di sebelah tandas. Anak kunci disorong masuk ke lubang pintu. Serta-merta pintu stor terbuka luas. Arina cuba mengingat kembali peralatan yang diperlukan untuk proses filtering. Dengan timbunan barang yang menggunung, dia menyelongkar satu demi satu. Kertas turas berbentuk bulat, span, serbuk pencuci telah pun berada di tangannya.

Arina mengeluh. Keluhan yang entah untuk keberapa kali untuk hari ini. Aku mampu lakukan, getus hati kecilnya. Cuba membuang perasaan yang tidak enak di sanubari. Mesin filtering yang berbentuk bulat dan mempunyai 4 roda kecil di bawahnya disorong perlahan-lahan ke bahagian belakang. Struktur seperti generator yang bersambungan dengan hos ditanggalkan dahulu daripada mesin supaya kertas turas yang berbentuk bulat dapat dimuatkan ke bahagian dalam mesin. Setelah puas hati dengan kedudukannya, dia menyambung kembali struktur seperti generator tadi ke bahagian khas di dalam mesin tersebut.

Sarung tangan getah yang tergantung di dinding dicapai. Dia menyarungkan sarung tangan getah yang tebal itu pada tangan kanannya. Cukup panjang untuk menutup sebahagian besar lengannya demi melindungi anggota tersebut daripada melecur ataupun bergesel dengan dinding fryer yang panas. Kayu panjang khas yang digunakan untuk mencuci bahagian dalam fryer dan serbuk pencuci khas diletakkan di dalam mesin tersebut bagi memudahkannya membawa semua barang sekaligus. Mesin filtering disorong perlahan-lahan hingga tiba di tepi ruang kaunter yang menempatkan fryer kentang goreng.

“La,kesiannya adik abang. Diorang suruh Ina yang kecil ni buat kerja berat macam ni?”Muazam menegurnya dari belakang. Suaranya yang berbaur simpati disambut seulas senyuman. Ada juga yang memahami,bisiknya. Peralatan yang dimasukkan ke dalam mesin buat sementara tadi dikeluarkan semula lalu diletakkan di atas lantai.

“Nak abang tolong?”

“Abang Muazam nak tolong ke?” wajahnya berubah ceria. Pucuk dicita ulam mendatang,penyelamatku sudah tiba,desisnya gembira.

“Abang nak tolong,tapi tolong tengok je la,” Muazam membalas seraya tertawa nakal. Air muka Arina yang cerah bak mentari dilitupi awan mendung yang berarak mengiringi hatinya yang sebal dengan gurauan Muazam. Aku pancutkan dengan minyak ni baru tahu. Bergurau tak kena masa!Arina menggerutu di dalam hati.

Tanpa menghiraukan Muazam yang masih belum menghaiskan tawanya, Arina memulakan langkah pertama dengan mematikan butang yang bertindak mengawal suhu fryer. Dengan berhati-hati dia mencangkung untuk menyambungkan hos dari mesin filtering ke saluran fryer yang letaknya di bahagian bawah. Setelah memastikan sambungan yang dilakukan cukup ketat,Arina menolak punat pada mesin filtering untuk mengaktifkannya. Sebelum itu, dia memusingkan pemutar seperti paip pada mesin bagi mebolehkan minyak disedut masuk ke dalam mesin. Seketika kemudian, bunyi getaran dari mesin menyelubungi seluruh premis. Apabila ruang fryer yang dipenuhi minyak sudah kosong, Arina menaburkan serbuk pencuci ke dalam fryer. Dia menyental bahagian dinding fryer menggunakan kayu panjang yang hujungnya dilekatkan span hinggalah ke ceruk yang paling sukar dicapai. Tamat kerja pembersihan,minyak yang dikeluarkan tadi dipamkan semula ke dalam fryer. Hasilnya, minyak yang bersih dan jernih tanpa sisa terampai sedia digunakan. Dia melihat ke dalam mesin dan mendapati sisa-sisa bahan yang dimasak telahpun diserap oleh kertas turas yang telah berubah warna dari putih ke kuning keperangan. Hos kemudian dicabut. Butang kawalan suhu dihidupkan semula dan sedia digunakan selepas 10 minit atau apabila minyak telah cukup panas. Proses yang sama diulang untuk fryer selebihnya.

Berlama-lama membersihkan fryer membuatkan Arina merasa tidak selesa. Melekit tubuhnya dibasahi peluh. Wajah terasa beminyak. Bahang yang meruap menyebabkan wajahnya berubah kemerah-merahan.Stesen terakhir,dia baru ingin menghela nafas lega apabila telinganya menangkap sahutan cemas di belakangnya.

“Ina,minyak tumpah tu!” jeritan Kak Meera mengejutkan semua krew yang sedang sibuk melakukan tugas masing-masing.

“Ya Allah!” hos yang disangka telah disambung dengan sempurna terkulai di atas lantai. Minyak membuak keluar membanjiri lantai dapur. Arina terpaku. Serasa menggigil seluruh tubuhnya menghadapi kejadian yang tidak diduganya. Patutlah sepanjang hari dia tidak sedap hati, rupanya ada malang yang ingin menimpa.

“Tutup pemulas Ina,cepat!” Seolah baru sedar dari mimpi,Arina lantas menurut arahan entah daripada siapa. Dia memulas pemutar seperti paip mengikut arah lawan jam. Keadaan berjaya dikawal setelah Arina berjaya menyekat aliran minyak yang melimpah dari mesin filtering. Muka Arina bertukar pucat,matanya kian kabur digenangi air mata. Sungguh dia panik dan kaget.

“Ina,”terkejut dengan sapaan lembut, dia menoleh. Kak Meera menyoroti anak matanya. Bening anak mata Arina menggambarkan kekesalan yang tidak terperi di atas apa yang berlaku. Semua mata kini tertumpu padanya. Arina sendiri tidak berganjak walaupun sekelilingnya dipenuhi minyak.

“Ina pergi ambil mop. Mop lantai.”Kak Meera mengeluarkan arahan.

“Akak,saya minta maaf,saya___”tangisan kecil mula menyapa pendengaran Kak Meera.

“Ina,kenapa menangis pula?Akak bukan marah,okey?Dah,sekarang Ina bersihkan je lantai ni dulu dengan air sabun. Lepas tu bersihkan bekas filtering tu. Dah,jangan nangis,”Kak Meera memujuk sambl memaut mesra bahu krewnya yang dilanda perasaan bersalah. Pujukan Kak Meera sedikit sebanyak melegakan hatinya. Arina akur dengan perintah Kak Meera. Dia menyapu air mata menggunakan hujung jarinya. Tanpa menoleh kepada sesiapa, dia menonong ke ruang belakang untuk membersihkan kasutnya yang diselaputi minyak.

“Ya Allah, kenapa ni?”Shamsul yang baru sahaja pulang setelah selesai berurusan dengan pihak bank terkejut bukan kepalang. Kak Meera meletakkan jari telunjuk di mlut sebagai isyarat agar tidak meneruskan pertanyaannya. Bimbang didengar Arina. Hati gadis itu masih tidak tenteram. Shamsul terpinga-pinga dengan tindakan Kak Meera. Dia memandang Kak Meera denga riak penuh tanda tanya.

Seketika kemudian, Arina tampil bersama mop dan baldi beroda yang berisi air sabun. Tanpa menghiraukan mata-mata yang memandang, dia menyental lantai yang dicemari tumpahan minyak. Sedikit pun dia tidak mengangkat muka. Kak Meera merenung krew-krew dan memberi isyarat mata agar kembali meneruskan kerja seperti biasa. Mereka akur dengan arahan lantas kembali ke posisi masing-masing.

Shamsul diulit rasa bersalah. Dia memungkiri janjinya pada Arina. Pasti sukar dia menangani proses filtering bersendirian. Secara kebetulan dia harusmenyelesaikan satu urusan yang tertangguh di bank dan terlupa akan janjinya. Apa harus aku buat? Meminta maaf? Mahukah dia memaafkan aku?Soalan demi soalan menusuk benak pemikirannya. Dia hanya tercegat memerhatikan Arina.

Sudah dua kali Arina berulang-alik dari depan ke belakang dan sebaliknya. Dia ingin memastikan lantai tersebut benar-benar bersih. Semestinya dia tidak mahu ada krew yang tergelincir pula. Cukuplah dengan malapetaka yang tidak diundang menimpanya sebentar tadi. Dia merenung mesin filtering yang tersadai di tepi sinki. Kotor dan penuh dengan tinggalan sisa minyak dan sisa terampai yang disedut keluar. Kertas turas ditanggalkan dan dibuang ke dalam tong sampah berhampiran. Ia berkecai menjadi beberapa serpihan memandangkan keadaannya yang lembap setelah menyerap minyak sebaik sahaja Arina mengangkatnya. Sebahagiannya jatuh pula ke lantai. Terpaksa pula dia menyapu keluar serpihan tersebut sebelum dikumpul dan dibuang ke dalam tong sampah.

Selesai tugas menyapu, dia cuba mengangkat bekas filtering tersebut ke dalam sinki. Aduh,beratnya! Tak terdaya aku, Arina bersungut. Bagaikan mahu putus segala urat. Macam mana nak cuci ni?Dia menarik nafas dalam-dalam. Sekali lagi dia mencuba. Kedua belah tangannya mencengkam erat bahagian sisi bekas. Dengan sekuat mungkin,dia cuba mempertaruhkan tenaga yang ada.

“Eh,Arina! Kenapa tak panggil abang tolong angkatkan?”Shamsul bersuara separuh memekik. Pantas dia menghampiri Arina dan sama-sama mengangkat bekas tersebut ke dalam sinki. Mujurlah Shamsul hadir di saat kecemasan begini. Ringan sedikit beban yang ditanggung untuk mengangkat bekas yang cukup berat hingga memaksa dia mengerahkan semua tenaga.
“Macam kuat sangat nak angkat benda alah tu. Ina pun boleh muat duduk dalam tu tau. Kalau tergolek lepas tu dihempap pula dengan bekas tu macam mana? Siapa yang susah. Jangan ingat kita seorang boleh buat semua benda. Tak salah minta tolong orang kalau tak mampu. Jangan ego,Ina!” keras suara Shamsul menerjah pendengaran Arina. Dia tertunduk. Belum pernah Shamsul meninggikan suara padanya seperti ini. Hatinya sebak.

“Maaf.”

Sepatah perkataan yang cukup membuatkan Shamsul diamuk kesal. Sedikit pun dia tidak berniat untuk menengking gadis ini namun kerana terkejut dan bimbangkan keselamatannya,dia bertindak di luar batasan. Kecut hatinya melihat Arina yang kecil molek mengangkat bekas yang boleh memuatkan hampir separuh tubuhnya. Sungguh dia risau andai berlaku sesuatu yang buruk terhadapnya.

“Abang minta maaf Ina. Atas segalanya.” sayup suara Shamsul mengungkapkan maaf.
“Tak apa.”Tanpa menunggu respon dari Shamsul, dia memancurkan air panas ke dalam bekas filtering bagi menanggalkan kesan minyak yang melekat di dinding dan dasarnya. Habis dia memancur air,bekas disental menggunakan span dan cecair pencuci. Buih-buih sabun memenuhi ruang sinki. Tangannya sendiri tenggelam dalam gumpalan buih yang semakin bertambah setiap kali dia menggosok. Melihatkan Arina yang seolah hanyut dalam tugasnya,dia meninggalkan bekas anak didiknya sendirian. Terbit kerisauan di sudut hati melihat Arina diam membisu tanpa sepatah kata. Hinggalah waktu syifnya berakhir, Arina terus berlalu tanpa pamitan.
Shamsul menyumpah dirinya sendiri.

No comments: