Wednesday, March 19, 2008

Meniti Pengalaman Pertama (BAB 6)

Diam tak diam, sebulan telah pun berlalu. Arina kini semakin serasi dengan rutin hariannya. Dia jarang bertemu Mazni kerana seringkali diaturkan berlainan syif. Begitu juga dengan bekas mentornya Shamsul. Cuma sesekali ada mereka berpapasan ketika peralihan syif. Sekadar bertegur sapa secara ringkas. Shamsul, mahasiswa UPM pula sibuk dengan persediaan menghadapi peperiksaan akhir yang sedang berlangsung. Bahagian pengurusan mengecualikan Shamsul daripada bekerja 8 jam sehari, sebaliknya dia hanya perlu bekerja 4 jam sehari dan hanya pada hujung minggu sahaja. Namun hari ini dia boleh mengukir senyum gembira. Kedua-dua mereka bertugas pada syif yang sama dengannya setelah sekian lama.

Minggu lepas, dia diperkenalkan dengan seorang lagi krew merangkap penolong pengurus juga di premis ini. Najib Huzaimi-berperawakan kemas dan sedap mata memandang. Tapi bila dia mendengar lenggok suara dan langkahnya yang lemah gemalai, Arina sudah sedia maklum pasti Najib Huzaimi seorang yang teliti dan cerewet. Spesies lelaki lembut cukup menitikberatkan kesempurnaan. Dan telahannya memang tepat bila Najib Huzaimi kerap menyuruhnya membersihkan ruang dapur. Boleh dikatakan hampir setiap minit dia harus menyapu atau mengemop lantai,membuang sampah mahupun mengelap apa-apa yang perlu. Pendek kata, dia mahu keadaan sentiasa kelihatan bersih dan tersusun. Menjadi kepantangan baginya melihat krew bersidai atau berborak,pasti ada saja yang hendak disuruhnya hingga Arina naik rimas. Yang melekat di fikiran Najib Huzaimi kerja,kerja dan kerja.

“Morning my friend!” Arina tersedar dari lamunan apabila dirasakan satu tepukan kuat melekap di bahunya. Mazni seperti biasa ketawa melihat riak terkejut yang terpamer di wajah sahabat baiknya.

“Berangan ke mana kau ni Ina? Sampai aku masuk pun kau tak perasan.” Ujar Mazni sambil membetulkan tudungnya yang kelihatan senget lantaran tiupan angin yang kuat di luar.
“Tak ada apa. Kau datang naik apa ni?”

“Naik bas. Mak aku pergi kursus hari ni. Jadi,tak dapatlah aku menumpang.” Mazni memberi penjelasan. Arina mengangguk tanda mengerti.

“Dah lama kita tak duty sama-sama kan? Aku asyik kena malam je. Nasib baiklah mak aku nak juga jemput.” Arina mengangguk lagi. Mazni sudah kehilangan ayah semasa dia masih di alam persekolahan. Sejak itu ibu Mazni yang bertindak sebagai ketua keluarga. Sebagai ibu tunggal, Puan Mahanom memegang peranan sebagai ibu dan bapa sekaligus. Dialah yang memasak, dialah yang menghantar anak-anaknya ke sekolah dan dia jugalah yang bekerja untuk menyara keluarga dengan menggunakan tulang empat kerat yang dimilikinya. Mungkin sebab itu Mazni beria-ia mencari kerja sambilan demi meringankan beban ibunya. Mazni sendiri tidak pernah merungut tentang keadaan hidupnya namun Arina pasti temannya itu cuba mengaburi mata semua orang tentang duka yang menghuni hatinya dengan bersikap ceria dan mewah dengan jenaka.

“Mak kau tak bising pulak kau kena syif malam?”Arina menduga.
“Mula-mula tu bising juga. Tapi aku pujuklah dia, kata untuk sementara je. Aku nak drive,dia tak bagi pula. Bahaya memandu malam-malam seorang katanya. Sudahnya,setiap kali nak ambil aku, adik aku Boy yang akan temankan mak aku. Kau tahu je la kawasan rumah aku tu sunyi je. Risau juga.” Mazni menjelaskan. Betul juga,detik hati kecil Arina. Kes jenayah pula semakin meningkat dari hari ke hari. Saban waktu ada sahaja kes yang melibatkan pembunuhan,rogol dan rompakan. Pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak berkuasa untuk membanteras jenayah yang semakin berleluasa.(selitkan rakan cop)

“Amboi,seronoknya borak-borak. Tak nak masuk kerja ke?” kerancakan perbualan kedua gadis terhenti. Arina cuma menahan senyum sewaktu melihat Mazni melopong. Najib Huzaimi merenung tepat ke arah mereka sambil bercekak pinggang. Sisi pinggulnya sedikit menyendeng ke sebelah kiri.

“Sekejap lagi kami masuk abang Najib.” Arina menyahut pertanyaan Najib Huzaimi.
“Okay,jangan lambat. Kalau tidak,potong gaji.” Najib Huzaimi meninggalkan mereka. Lenggang-lenggok dia mengatur langkah. Nampak jelas pinggulnya berayun ke kiri dan ke kanan.
“Siapa pulak tu Ina? Macam orang patah pinggang je. Jalan ala-ala catwalk. Liuk lentok gitu.” Soal Mazni sambil meniru gaya jalan Najib Huzaimi. Tangan kiri mencekak pinggang, tangan kanan dibengkokkan, langkah melenggang macam itik pulang petang. Pecah ketawa Arina melihatnya.

“Itu assistant manager juga. Nama Najib Huzaimi. Auw!”
“Nama sedap, rupa ada. Sayang,tulang lembut. Tak cukup kalsium.”dengan selamba Mazni berkata.

“Kau ni Maz, cakap siang pandang-pandang. Kalau dia dengar nanti padah kita. Orang macam tu kalau naik angin, kalah mak nenek berleter.” Arina mengingatkan Mazni agar berhati-hati menyusun kata waima dia sendiri gelihati mendengar kenyataan Mazni. Dasar mulut tak ada insurans.Bimbang kalau sampai ke pendengaran Najib Huzaimi. Silap-silap kena buang kerja. Mazni menekup mulutnya. Matanya melilau memerhati sekeliling mencari kelibat Najib Huzaimi. Selamat aku, Mazni menghela nafas lega.

Sewaktu mereka beriringan ke posisi masing-masing, mereka berdua berpapasan dengan Shamsul. Wajahnya keruh. Namun sempat dia melempar sebuah senyuman buat mereka berdua. Terasa hambar sekali senyuman Shamsul. Arina dan Mazni saling berpandangan. Arina mencuit Mazni. Mazni mengangkat bahu. Mereka berpisah apabila sampai di lorong yang memisahkan antara kaunter dan ruang dapur.

Seketika kemudian Shamsul masuk ke perkarangan dapur. Arina sekadar menjeling. Hendak disapa, terasa tidak sesuai. Sudahnya,masing-masing membisu menjalankan tugas.
“Announcement,kitchen crew. Shamsul, Arina, hari ini kita ada tempahan dari Kolej ke-10 UPM. Minta sediakan 50 biji burger Mc Chicken dan 50 biji burger Filet. Sekejap lagi Kak Ha akan tolong. Kak Ha! ‘Mai’ la sini,kata nak tolong!” laung Najib.

“Kejaplah. Najib ni tak menyempat.” Kak Ha pula melaung dari ruang kaunter .
“Bukan apa kak. Banyak ni. Diorang pulak nak lagi sejam. Kitchen crew pula 2 orang je. Terkangkang-kangkang pulak budak berdua ni ha. Tolonglah Kak Ha,ya?”Najib Huzaimi memohon.

“Ya lah,jangan risau. Awak tu pergi tolong budak kaunter prepare beverage.” Kak Ha sudah pun memasuki perkarangan dapur manakala Najib Huzaimi beralih ke kaunter sambil mengucapkan terima kasih.

“Najib,Najib. Tengoklah,akak baru je sampai. Kelam-kabut minta akak tolong. Kecoh la mamat tu.” Kak Ha bersuara separuh berbisik tapi dapat dikesan pada pendengaran Shamsul dan Arina. Arina tersenyum. Dia sudah mula mengeluarkan ban lalu disusun secara 3 barisan dan 2 lajur. Sedangkan Shamsul masih seperti tadi. Tiada respon.

“Hai,Shamsul. Kenapa diam je? Ada masalah ke? Serius je air muka tu?” rupanya Kak Ha juga perasan akan perubahan mendadak Shamsul. Dia memasang telinga untuk mendengar jawapan daripada bekas mentornya itu walaupun tangannya ligat menyediakan hidangan.

“Eh, tak adalah kak. Saya okay.” Jawapan ringkas daripada Shamsul membuatkan Kak Ha tidak melanjutkan pertanyaan. Sementelahan lagi Shamsul nampaknya tidak berminat menyambung perbualan. Walaupun Arina sendiri tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut, namun dia sendiri tidak tega untuk bertanya.

Kak Ha bertindak selaku product controller atau singkatannya PC untuk hari itu. Bermakna Arina dan Shamsul akan menjalankan tugas di bawah seliaannya. Tempahan yang banyak serta harus disiapkan dalam tempoh waktu yang singkat memaksa Arina menggandakan kudratnya lebih daripada kadar biasa. Lebih mengkucar-kacirkan keadaan, dia dan Shamsul terpaksa juga menyiapkan pesanan pelanggan yang sedia ada di premis. Sedikit sebanyak ia mengganggu proses kelancaran penyediaan tempahan apabila burger yang sudah disiapkan untuk tempahan terpaksa didahulukan buat pelanggan yang tidak putus-putus singgah di premis mereka. Mujurlah semua krew saling membantu dan tidak lokek apabila diminta menghulur tenaga tanpa mengira krew biasa atau krew atasan.

Bintik-bintik peluh sudah mula merenik di dahi Arina. Bahang panas yang keluar dari fryer meruap naik. Arina membiarkan sahaja dahinya basah. Ada 3 lagi burger Mc Chicken yang perlu disediakan untuk mencukupkan jumlah tempahan.

“Aduh!” Arina terjerit kecil apabila bekas khas menggoreng patties yang panas melekap di lengannya. Hampir terlepas bekas tersebut dari pegangannya namun dengan penuh hati-hati dia mencelupkan bekas tersebut ke dalam takungan minyak yang mendidih. Shamsul dan Kak Ha berpaling ke arahnya. Najib Huzaimi turut terkocoh-kacah mengatur langkah ke dapur.

“Kenapa Ina?”Shamsul bertanya dalam nada cemas. Kak Ha dan Najib Huzaimi sudah merapatinya.

“Tak ada apa. Terkena pemegang besi tu je.” Tokoknya. Kepedihan akibat melecur mula menyucuk lengannya.Kulitnya mula menggelembung, jelas kelihatan di lengannya yang putih. Merah menyala membakar kulitnya.

“Alahai kesian adik akak. Berparut pula lengannya yang putih melepak ni.”Kak Ha mengusap lengan Arina penuh simpati.

“Tak apalah kak, sikit je ni.”balas Arina lalu menarik tangannya perlahan daripada cengkaman Kak Ha. Malu pula dia diberi simpati hanya kerana perkara sekecil ini.

“Normallah tu. Kalau tak ada parut,bukan kitchen crew namanya. Lama-lama hilanglah tu,jangan risau. Tak susut nilai punya.” Najib Huzaimi mengulas disusuli gelak ketawa. Shamsul mengangguk tanda membenarkan kata-kata Najib Huzaimi.Arina turut tersengih. Dia sekadar merenung tompokan merah di lengannya. Masih terasa sakit biarpun sudah reda kepedihannya.

“Arina rehatlah dulu. Akak tahu awak penat. Shamsul pun sekali,pergi rehat. Sementara customer tak ada ni.”usul Kak Ha sambil memanjangkan lehernya mengintai ke ruang lobi.
“Takkan akak sorang je jaga dapur?”soal Arina ragu-ragu.

“Tak apa. Akak dengan Najib jaga. Lepas korang break,turn kami pula.” Arina cuma menurut. Setelah menanggalkan apron yang tersemat di badannya, dia langsung menuju ke kaunter . Tray plastik berwarna coklat yang lazimnya digunakan untuk meletakkan hidangan buat pelanggan dicapai satu. Dia memilih menu Milo ais sebagai pembasah tekak, Cheeseburger dan kentang goreng buat mengisi perut. Setelah semuanya lengkap, kesemua menu tadi disusun di atas tray. Kemudian dia berlalu ke ruang rehat. Kosong. Perlahan dia mendaratkan tray miliknya di atas meja. Punggung dilabuhkan. Penyedut minuman disuakan ke mulut. Arina menyedut dengan rakus sekali. Tekaknya terasa teramat kering. Kedinginan Milo ais menelusuri saluran esofagus. Sangat menyamankan tatkala panas begini.

Seketika kemudian, telinganya menangkap bunyi derapan langkah perlahan-lahan menghampiri tempatnya. Pasti Shamsul,tekanya. Malas dia ingin menoleh. Air Milo ais kegemarannya lebih menarik perhatian di kala ini.

Dugaannya tepat. Shamsul mengambil tempat bertentangan dengannya. Mata Arina mencuri pandang wajah Shamsul. Wajah yang kali terakhir dilihat tersenyum manis kini layu tiada seri.
“Ina okay?” dia yang sedang tunduk mengacau air dengan penyedut minuman mendongak. Shamsulkah yang bersuara?

“Okay. Ina rasa yang bertanya tu tak okay.” Dengan wajah selamba Arina meluahkan rasa yang terbuku di hati. Shamsul sedikit terperanjat dengan kenyataan yang keluar dari bibir Arina. Dia memerhati gadis kecil molek di hadapannya kini. Leka menyuap kentang goreng yang dicicah dengan sos. Sisa sos sedikit terpalit di hujung mulutnya. Shamsul tersenyum sendiri melihat gelagat Arina.

"Kenapa pula Ina kata abang tak okay?"Shamsul menghulurkan sehelai tisu kepada Arina sambil menunjuk hujung mulutnya.Arina menyambutnya. Cepat-cepat dia mengelap sisa sos yang melekat. Kantoilah pulak, tercemar pulak imej sopan-santun aku.Spoil betul sos ni!Arina menggerutu di dalam hati.

"Tak ada apalah.I just follow my sixth sense,unfortunately not accurate. Ilmu tak penuh di dada," cuba mewujudkan suasana santai antara dirinya dan Shamsul.Arina mula membuka balutan Cheeseburger. Bau harum keju menusuk hidungnya. Dia menggigit dengan berhati-hati. Rasa lemak daging lembu, keju, pickles masam dan sos bergabung menjadi satu adunan dalam kunyahannya. Arina mendengar Shamsul mengeluh perlahan.

“Abang”

“Hmm?” ringkas Shamsul membalas sambil menyedut minuman berkarbonat di hadapannya.

“Abang sungguh tak ada apa-apa?” Arina cuba mencungkil lagi apa yang tersirat di sebalik keluhan tadi. Shamsul merenung tepat ke mata Arina. Dalam. Arina mula tidak keruan. Tidak pernah dia ditenung sebegini dekat oleh lelaki.

“Ina risaukan abang ya?” hampir tersedak Arina bila diajukan pertanyaan seperti itu. Shamsul mula merenyih mempamerkan senyuman nakal. Keningnya sengaja diangkat.

“Sebagai kawan risaulah juga. Selalu abang riuh, hari ini sunyi. Mestilah semua orang perasan. Bukan Ina je. Tadi pun Kak Ha tanya kan?” Arina cuba menutup malu dengan mengutarakan alasan selamat. Serkap jarang daripada Shamsul sedikit sebanyak menggugat nalurinya. Ah, aku cuma mengambil berat sebagai kawan, tidak lebih dari itu, bisiknya.

“Sebenarnya abang cuma risau dengan peperiksaan abang. Semalam abang tak boleh nak jawab ada satu paper tu. Paper major pulak tu. Tapi, buat apa nak ingat hal yang dah lepas kan?”Shamsul mula menjelaskan perihal perubahan dirinya yang membuahkan tanda tanya di hati temannya. Sebagai pelajar tahun akhir, dia ingin menamatkan pelajarannya dengan keputusan yang memberangsangkan agar mudah untuknya mencari peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan. Sudah sekian lamanya keluarganya diulit kepayahan hidup sebagai insan yang tiada harta.Mengenangkan perih jerih ibu bapanya membanting tulang di sawah yang sekangkang kera cukup menginsafkan dirinya. Bukan dia malu,malah kagum dengan kudrat kedua orang tuanya membesarkan anak-anak seramai 4 orang hanya berbekalkan tulang empat kerat.Namun dia ingin sekali merubah nasib keluarganya sekaligus memberi peluang kepada ibu bapanya merasai kesenangan hidup hasil titik peluhnya pula.Biar adik-adiknya merasa keseronokan hidup di alam remaja yang tidak pernah dikecapinya dahulu.Alam remajanya bukan dilingkari indahnya cinta monyet,bergelak tawa bersama teman-teman.Usia setahun jagung sudah terdedah dengan derita mencari sesuap nasi.Dia matang sebelum waktu,tidak tega menghabiskan masa bersama teman dengan membiarkan ibu bapanya memerah keringat,bermandi lumpur dan bertemankan pacat. Kebiasaan itu masih lagi sebati dalam dirinya dan setiap kali tiba cuti semester,dia sendiri akan menghulurkan bantuan setiap kali menjejakkan kaki ke kampung halaman.Mujurlah yuran pengajian ditanggung sepenuhnya oleh pihak MARA. Dia dianugerahkan biasiswa sempena keputusan cemerlangnya di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia beberapa tahun yang lalu.Sekurang-kurangnya ibu bapanya tidak perlu bergolok gadai membiayai pengajiannya yang memakan belanja ribuan ringgit. Dan dia sendiri harus bersyukur dikurniakan keupayaan akal yang tajam dan ingatan yang kuat berbanding teman seperjuangan lain.Namun untuk riak tidak sekali malah dia sering bertindak sebagai mentor di kalangan teman sekuliahnya.

"Kalau itu yang abang risaukan, caranya adalah dengan bertawakal kepada Allah.Insya allah, Allah akan balas setimpal dengan apa yang abang usahakan.Akan datang kelegaan setelah kebimbangan,akan ada cahaya setelah kegelapan,"di penghujung ayatnya,Arina tersenyum.Entah dari mana pula datang falsafah kehidupan ciptaan aku ni?Macam kaunselor pulak,Arina menahan tawa di dalam hati.

"Wah, pandai berfalsafah rupanya.Abang rasa macam bercakap dengan pakar motivasi pulak,"Shamsul terpegun bercampur kagum.Benarlah kata bidalan,diam-diam ubi berisi,kecil-kecil cili padi.Tawa Arina berderai juga setelah puas dia menahan.Dia sendiri terasa lucu dengan ayat yang tiba-tiba meluncur laju dari bibirnya.

"See the leg la,Abang Shamsul,"sengaja dia ingin mengenakan Shamsul.

"Sekejap ye,"Shamsul menyorongkan kerusinya sedikit ke belakang Dia baru sahaja ingin menundukkan kepalanya ke bawah meja apabila Arina tiba-tiba menghalangnya.

"Abang nak buat apa tu?"soalnya sedikit keras. Hatinya gusar dengan tindakan Shamsul. Takkan nak mengintai kot? Gila!

"La,tadi kata see the leg. Ini abang nak tengoklah ni,"

"Abang!"Shamsul ketawa terbahak-bahak.Sepakan percuma daripada Arina sedikitpun tidak terasa sakitnya.Apalah sangat tendangan dari seorang perempuan.Hilang seketika kebimbangan yang membungkus hatinya sebentar tadi tatkala melihatkan wajah kelat Arina yang nyatanya tidak puas hati dengan gurauannya. Masam tapi masih comel.Wajah keanak-anakannya begitu terserlah dalam keadaan begitu.

"Okaylah. Sudah tu,habiskan makanan ni.Kejap lagi nak habis waktu rehat ni." Arina mengerling jam tangan yang melingkari pergelangan kirinya.Betul kata Shamsul,kurang beberapa minit waktu rehat akan berakhir.Mereka menghabiskan saki-baki makanan yang masih bersisa sambil menyambung perbualan.Sesekali perbualan mereka diselangi gelak ketawa.Cukup menghiburkan dan menyenangkan.Shamsul yang dahulu telah kembali.

No comments: