Monday, March 17, 2008

Meniti Pengalaman Pertama (BAB 1)

Langkah Arina dan Mazni terhenti di hadapan pintu masuk restoran Mc Donald. Menerusi dinding kaca yang jernih,mereka melihat ada dua tiga orang pelanggan berada di dalam menunggu giliran untuk diambil pesanan mereka di kaunter. Pukul sebelas pagi keadaan masih lengang. Namun situasi di sini pasti berbeza tatkala masa menginjak ke waktu puncak yakni jam dua belas tengah hari . Waktu begini restoran makanan segera ini pasti sesak dengan pengunjung sementelahan lagi lokasinya yang strategik berhampiran kawasan kediaman dan pusat pengajian tinggi awam.

“Macam mana Ina? Nak cuba tak?”Mazni beralih pandang pada sahabat yang berdiri tegak di sisinya.

“Entahla Maz.Aku pun tak tahu.” Balas Arina. Nada suaranya jelas menunjukkan keraguan. Pada mula perancangan, memang dia bersemangat untuk mencuba nasib mengintai peluang kerja di sini. Entah kenapa dia terasa cuak pula.

“Jomlah kita try. Alang-alang dah sampai,kalau tidak sia-sia saja perjalanan kita. Lagipun kau nak ke duduk melepak je kat rumah dalam masa 3 bulan ni? Tengok,baru seminggu kita cuti dah terasa bosan. Kalau kita kerja, dapat juga duit saku. Dapat menimba pengalaman.” Arina diam mendengar hujah Mazni. Tidak mampu dia menangkis kerana kebenaran memang terserlah dalam kata-katanya. Rutin di rumah sejak tamat matrikulasi sama sahaja. Bangun bila matahari sudah tinggi menggalah, lena apabila subuh hampir menyapa. Melayan siaran televisyen yang sememangnya menjanjikan hiburan yang menarik. Tapi semua keseronokan itu hanya mampu bertahan selama tujuh hari. Sudahnya, dia terasa jemu.

“Aku seganlah nak tanya. Kau berani tak?”Arina pula mengajukan soalan.
“Berani tak berani kita masuk dulu. Takkan nak tercegat kat sini,” Seiring dengan itu Mazni menarik tangan Arina.Arina hanya menurut biarpun hatinya berkocak. Pintu kaca ditolak perlahan. Mereka berdua berjalan menghampiri kaunter. Hanya satu kaunter sahaja dibuka dan ada seorang pelanggan yang sedang membuat pesanan. Sementara menanti pelanggan di hadapan mereka selesai dengan urusannya, Arina sempat meninjau keadaan di dalam dapur restoran. Walaupun sedikit terhalang dengan mesin air berkarbonat dan ruang meletak pesanan yang sudah sedia, dia dapat melihat aktiviti para pekerja yang sedang sibuk menjalankan tugas masing-masing. Macam manalah agaknya keadaan aku jika bekerja di sini? Sempat dia membayangkan dirinya menjadi salah seorang krew di situ.

“Selamat datang ke Mc Donald. Nak pesan apa dik?” seorang gadis menyapa mereka sebaik sahaja pelanggan tadi beredar. Tersentak, Arina cuba tersenyum bagi menutup debar di dada.
“Kak, sebenarnya kami datang ni nak tanya. Kat sini ada kerja kosong tak? Kalau ada macam mana nak apply?” Mazni menyoal tanpa rasa sangsi.

“Oh,sekejap ya. Kak Meera!Wanted at the counter!” gadis itu melaungkan nama seseorang bagi membantu menjawab pertanyaan mereka. Mazni sempat menncuit tangan Arina. Menandakan bahawa kemungkinan besar peluang terbuka untuk mereka. Arina mengangguk tanda membalas. Tidak berapa lama kemudian, muncul seorang wanita bertudung biru tua memakai uniform yang berbeza daripada para krew. Segaris senyuman dilemparkan buat mereka.
“Ya,adik ada apa-apa masalah?”soal wanita yang dipanggil Kak Meera. Tutur suara yang lembut menyingkirkan terus rasa malu dan segan yang bersarang di hati Mazni dan Arina.
“Begini kak. Kami datang ni nak tanya kalau ada kerja kosong kat sini,”Arina pula mengambil alih tugas mengajukan soalan daripada Mazni.

“Oh,memang kami sekarang sedang mencari pekerja. Kalau adik-adik ni berminat,bolehlah isi borang ni. Sila lampirkan salinan kad pengenalan dan sekeping gambar berukuran pasport. Bila dah siap,hantar pada akak semula.” Kak Meera mengunjukkan 2 helai borang permohonan kerja buat mereka berdua.Penjelasan yang jelas diberikan Kak Meera memudahkan urusan mereka seterusnya.

“Kena hantar hari ni juga ke kak?”Tanya Mazni inginkan kepastian.
“Kalau boleh hari ini lagi bagus. Boleh akak teruskan dengan proses temuduga pula. Kalau lepas, esok dah boleh mula training,” jawapan Kak Meera mengundang sedikit getar di hati masing-masing. Temuduga?
“Jangan risau. Soalan biasa saja. Sekadar prosedur. Tak payah baca buku pun boleh jawab,” ujar Kak Meera yang dapat menilai apa yang tersirat di lubuk hati kedua gadis ini. Mazni dan Arina tersipu malu dengan kenyataan Kak Meera. Pasti dia perasan ekspresi wajah mereka yang keruh tatkala diberitahu ada sesi temuduga.

“Kalau macam tu kami minta diri dulu. Terima kasih kak,”Mazni dan Arina meminta izin mengundur diri. Sebelum beredar mereka mengucapkan terima kasih juga kepada gadis kaunter yang membantu awal tadi. Azlina namanya.

Urusan mengisi borang dan menyediakan dokumen yang diperlukan berjaya disiapkan mereka pada hari yang sama. Selesai urusan temuduga, mereka berdua diberi sedikit penerangan tentang latihan yang bakal mereka lalui selama 3 hari berturut-turut. Kemudian mereka dibawa ke ruang kerja untuk menonton video tentang manual tugas di kaunter dan juga di ruang memasak. Sebelum pulang, mereka juga diberi sepasang uniform dan manual tugas dalam bentuk helaian.

“Esok datang pukul 10 pagi,okey? Jangan lambat. Awal tak apa. Kalau lewat,buang kerja!” ugut Kak Meera dalam nada bergurau.

“Baik bos. Esok sebelum Subuh kitorang sampai!” Arina membalas mengajuk stail watak Aziz Sattar dalam filem Seniman Bujang Lapuk.
“Sebelum Subuh nak buat apa. Tak payah solat ke? Kedai pun tak buka lagi. Nak tunjuk rajin tu biar berpada ya. Ini awal-awal je bersemangat,baru susah sikit dah nak berhenti”bebel kak Meera lantas disambut deraian tawa mereka berdua. Kak Meera turut tergelak mengenangkan leterannya. Mengalahkan mak nenek meleteri cucu.

“Okey la akak. Kami pulang dulu. Kita jumpa esok” mereka berdua melambai pada Kak Meera lalu beredar. Di luar, kereta abah Arina sudah menanti. Pasti abahnya tidak percaya yang dia akan mula bekerja esok. Sedangkan dia tidak memberitahu hasratnya secara khusus untuk bekerja sepanjang cuti sementara menanti keputusan untuk kemasukan ke universiti. Bimbang jika keinginannya itu tidak dipersetujui.

“Okeylah Ina. Bapa kau pun dah datang tu. Aku pun nak tunggu mak aku. Kita jumpa esok ya”Mazni meminta diri. Perbualan mereka terganggu seketika dengan deringan telefon bimbit milik Mazni. Tertera nombor telefon ibunya di skrin.

“Mak aku call. Rasanya mesti dia dah tunggu aku kat bus stop. Esok 10 pagi ya!”
“Okey. 10 pagi kita jumpa. Assalammualaikum,”Arina bergegas meninggalkan Mazni yang sedang menjawab panggilan. Dia membuka pintu kereta lantas melabuhkan punggung bersebelahan tempat duduk pemandu.

“Mazni balik dengan siapa?” abahnya menyoal sebaik sahaja dia menutup pintu kereta semula.
“Mak dia datang ambil,”jawabnya ringkas. Dia meletakkan bungkusan uniform yang diperolehinya di tempat duduk bahagian belakang.
“Esok Along dah mula kerja kat Mc Donald. Pukul 10 pagi.”Arina memulakan bicara.
“Kerja?”soal abah terkejut.
“A’ah. Dengan Mazni. Esok mula pukul 10 pagi.” Ulang Arina. Dia membisu menanti reaksi abah terhadap keputusan yang diambilnya. Jika abah tidak bersetuju, dia akan cuba memujuk. Tak mungkin dia menarik balik keputusannya.

“Esok nak pergi macam mana?” Arina tersenyum gembira. Abah tidak menghalang. Pasti abah faham kehendak hatinya untuk menimba pengalaman. Sekurang-kurangnya dia melakukan sesuatu yang berfaedah dan mungkin dapat membantu sedikit sebanyak dalam meningkatkan ekonomi keluarga mereka.

“Along naik bas saja la.”dia menjawab. Niat di hati tidak mahu menyusahkan. Dia maklum yang abahnya bekerja. Mana mungkin ada masa untuk menghantarnya.

“Naik bas?Bahaya nak melintas ke perhentian bas tu. Jalan sibuk. Tak apalah,abah hantar.” Tawaran abah disambut dalam keharuan. Abah selalu risaukan keselamatannya walaupun dia telah menjangkau usia 20 tahun. Mungkin kerana dia anak sulung perempuan, berbanding 2 adik lelakinya yang lebih bebas dan tidak terkongkong berlebihan sepertinya. Keadaan menjadi sepi semula. Arina mula membayangkan apa yang bakal dihadapinya esok. Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar, detik hati kecilnya.

No comments: