Friday, December 12, 2008

BAB 9

BAB 9

“Woi,bangunlah! Anak dara apa ni matahari dah tinggi segalah masih nak berbungkus!” Arina buat tidak endah sahaja dengan teguran adik bongsu lelakinya. Malas dia hendak melayan. Apa yang dia pasti, peluang cuti hujung minggu yang jarang-jarang muncul dalam hidupnya sejak bergelar krew Mc Donald harus dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Kelopak matanya masih belum mampu dibuka meskipun jam telah menunjukkan pukul 8 pagi. Tabir mimpi masih belum mahu melabuhkan layar. Lagi setengah jam aku bangun,janjinya pada diri sendiri. Insya Allah, mak tak marah kot. Bukan selalu aku bangun lambat.

Baru saja dia ingin menyambung tidurnya yang terganggu dek suara bingit adiknya, wajahnya tiba-tiba dirasakan sejuk seperti terkena percikan air. Bocor ke atap rumah ni?Tapi nak kata hujan lebat,tak ada pulak dengar bunyi bising,getus hati kecilnya. Pada mulanya dia hanya membiarkan sahaja kerana terlalu mengantuk. Lama kelamaan makin basah pula mukanya lantas memaksa dia mengusir jauh-jauh niatnya untuk menikmati keindahan alam mimpi. Terbuka sahaja mata,wajah pertama yang muncul di hadapannya tidak lain tidak bukan muka kerang busuk adik bongsu nakalnya. Sebuah penyembur air yang selalu digunakan untuk menggosok pakaian tergenggam kukuh di tangannya. Dasar dengki, tak boleh nak tengok aku hidup senang sikit. Ada je makhluk yang tak puas hati!

“Kau ni kenapa jealous sangat tengok aku tidur?Bagilah Along lelap sekejap,belum puas tidur lagilah. Mak pun tak bising,kau pulak sibuk.” Bengang sungguh dia dengan kenakalan adiknya itu. Tanpa menghiraukan wajahnya yang basah,dia kembali mendaratkan kepalanya ke bantal.

“Maklah suruh kejut tadi. Tak nak bangun sudah. Sarapan pagi lagi bagus daripada bertugas mengejutkan manusia yang malas.”berdesing telinga Arina mendengar butir kata yang keluar dari mulut adiknya. Kalau dikutkan hati ingin saja dia melawan kata-kata pedas tersebut. Mujurlah aku tengah mengantuk,kalau tidak mesti dah bergegar rumah ni dengan gabungan suara aku dan adikku. Sejak bila pulak dia ni pandai berleter? Dalam pada dia merungut sendirian, matanya semakin layu dan sekali lagi Arina diterbangkan ke alam mimpi.

Ya Allah,dah pukul berapa ni? Arina bergegas bangun dari pembaringan. Dia menyelak langsir yang menutupi tingkap. Matahari sudah galak memancarkan sinar. Hampir pukul 10 pagi? Arina memeriksa telefon bimbitnya yang sudah diset sebelum dia menyambung tidur. Apabila dia memeriksa waktu yang sepatutnya, dia menepuk dahi mengutuk kealpaannya sendiri. Padanlah tak bunyi. Yang aku pergi set p.m tu kenapa? Pandai sungguh aku, dia mengomel.

Perlahan-lahan dia menyusuri anak tangga. Terlihat kelibat bapanya sedang membaca suratkhabar. Terbit rasa malu atas keterlewatannya pagi ini. Anak dara bangun bila matahari sudah meninggi. Sekejap lagi pasti dia digiat adik dan ibunya. Sedikit pun bapanya tidak menoleh. Khusyuk sungguh entah apalah topik yang menarik perhatiannya pagi ini. Setiap hari pasti ada saja isu bunuh,perang dan politik. 3 topik inilah yang sering mendapat tempat di dada-dada akhbar.

“Wah,puteri raja sudah bangun. Dengan rambut menggerbang,huh,sungguh menakutkan. Pontianak pun lagi lawa dari Along.” Dengan selamba Fazli menyakat kakaknya yang sedang berjalan menuju ke bilik air. Dia tidak menghiraukan renungan tajam bak helang yang ditujukan untuknya.

“Malas aku nak layan kau. Akak kau yang tak lawa ni la yang sudi nak mengajar subjek yang kau tak tahu tau. Ni pakai lawa-lawa ni nak pi mana?” Arina menyoal tatkala memerhati pakaian adiknya yang lain daripada biasa. Berseluar jeans biru, dengan rambut kemas tersisir serta haruman minyak wangi menusuk ke hidung. Adik aku dah pandai bergaya sekarang.

“Nak keluarlah,jumpa kawan-kawan lama. Ex-schoolmate. Dah lama tak jumpa sejak Li masuk asrama.”

“Jumpa kawan ke jumpa awek?”

“Kau dah ada makwe ke Li?” mak mula masuk campur dalam perbualan kami. Tersentak dengan teguran mak, Fazli beria menidakkan kata-kata kakaknya. Arina cuma ketawa lalu melangkah menuju ke bilik air. Niatnya sekadar ingin mengusik adiknya,tidak sangka pula ibunya turut memasang telinga. Kelam kabut adiknya itu memperbetulkan keadaan. Arina sempat mengerling adiknya sebelum masuk ke dalam bilik air. Nyata adiknya tidak berpuas hati dengan tindakan Arina meninggalkannya bersendirian menangkis segala serangan yang dilancarkan ibu mereka. Tak pasal-pasal adiknya mendapat ‘usrah’ percuma di atas isu yang dibangkitkan. Arina cuma tersengih lantas menghilang ke dalam bilik air.

Setelah hampir setengah jam menghabiskan masa di bilik air membersihkan diri, dia memerhati sekeliling biliknya. Susun atur yang sama dipandang setiap hari mengundang rasa bosan dalam hati. Baiklah, hari ini pereka dalaman tak bertauliah ingin melakukan sedikit pengubahsuaian, gumamnya sambil tersenyum. Cadar yang membaluti tilamnya ditarik. Tidak ketinggalan juga sarung bantal yang entah berapa lama tidak berganti. Kesemuanya dilonggokkkan di satu tempat sebelum dia membawanya turun ke bawah untuk dibasuh. Dia membuka almari dan sedikit menjengket,dia mencapai satu set cadar berwarna merah jambu dan kuning yang terlipat kemas di bahagian atas. Dia memasang cadar dan sarung bantal dan kini katilnya sudah berwajah baru. Lebih ceria dan menarik dengan gabungan warna terang menghiasi kamarnya. Arina merenung koleksi novelnya yang tidak tersusun kemas. Hmmm...macam mana aku nak susun biar sedap mata melihat? Yes, aku tahu! Arina memetik jari sebaik sahaja fikirannya menangkap satu idea. Dipunggah semua novel miliknya ke atas lantai untuk diasingkan mengikut penerbit. Kebanyakan novel kegemarannya merupakan terbitan Creative Enterprise dan Alaf 21. Biarpun setelah dikira banyak juga dia berhabis duit, namun kerana minatnya yang mendalam dalam dunia penulisan kreatif terutamanya novel cinta, dia tidak pernah menyesal. Dia memilih novel berdasarkan sinopsis cerita, penulis kegemaran ataupun adakalanya dia memilikinya berdasarkan kulit bukunya yang menarik perhatian. Setelah proses pengasingan dilakukan, barulah dia menyusun semula koleksi novel kesayangannya di atas rak.

Tergerak pula hatinya untuk memeriksa telefon bimbitnya yang dimatikan sementara untuk mengecaj bateri yang semakin lemah kuasanya. Wah, ada 2 missed call! Siapa yang rajin sangat nak call aku ni ya? Arina meneka di dalam hati. Sebaik diperiksa, bibirnya mengorak senyum. Sahabat baiknya merangkap teman sekelas sewaktu menuntut di matrikulasi yang menghubunginya. Ada cerita sensasi ke yang ingin dikhabarkan sampai 2 kali missed call?

Arina menggunakan khidmat sistem pesanan ringkas untuk menghubungi Waty. Sesudah menaip, dia memilih menu ‘Send’.

Waty yang leka menonton televisyen sedikit terkejut apabila sofa yang didudukinya tiba-tiba sahaja bergegar. Dia menghalakan matanya ke arah telefon bimbit yang terletak elok di sisi. Getaran dari telefon rupanya. Ada mesej masuk. Waty mencapai telefon dan segera memeriksa si pengirim sms.

“Aku off phone tadi. Kenapa kau call? Ada gosip ke?Haha.”

Sebaik sahaja terbaca mesej yang dihantar Arina, Waty terus mendail nombor rakannya itu. Tahu benar dia dengan perangai Arina yang cukup malas mahu menelefon.

“Ya, Cik Waty ku sayang. Ada apa call aku?” terus sahaja Arina menjawab panggilan yang memang sudah diduga.

“Amboi, tak sempat aku bagi salam. Kau main terjah je ya. Ni bukan segmen terjah kat Melodi tau!” Waty membalas. Telinganya menangkap kekekan ketawa dari Arina.

“Yela,aku bagi can kau bagi salam kat aku eh. Ok,1...2...3...mula.”

“Assalammualaikum,”

“Waalaikumussalam,ha. Puas hati? Sekarang mulakan cerita anda dari A sampai Z.”

“Kalau aku nak start dari M,kemudian stop kejap dekat R. Esok aku sambung balik sampai Z.” Waty pula mengenakan temannya itu.

“Watyyyy!!! Kau ni sampai ke sudah la nak merepek tu. Benci aku!” separuh menjerit dia di corong telefon. Waty ketawa berdekah-dekah. Dia sudah dapat membayangkan wajah Arina yang berkerut dan masam macam asam keping.

“Siapa suruh kau mula. Padan muka. Kau tengah buat apa tu? Teringat kat ‘Milah’ ke?”

“Banyaklah kau punya ingat. Aku tengah kemas biliklah. Si ‘Milah’ tu dah lama aku tak hubungi dia pun.” ‘Milah’, nama gelaran yang diberikannya untuk menggantikan nama Halim, bekas teman sekuliahnya di matrikulasi. Arina meminati lelaki itu hingga menimbulkan kelucuan di hati mereka yang mengetahui perasaannya yang terpendam. Bagi mereka, lelaki seperti itu tidak wajar diminati. Sudahlah selekeh,panas baran dan kuat merajuk. Hanya kerana berkecil hati dengan kata-kata seorang teman yang mengutuk caranya berkawad,dia bertindak untuk tidak menyertai pertandingan kawad antara praktikum. Cemas juga hatinya dengan tindakan lelaki itu memandangkan kawad kaki merupakan aktiviti wajib. Takkan nak mengulang semester hanya kerana tidak menyertai pertandingan kawad? Mujurlah teman-teman sekelas bertoleransi dan memujuknya supaya melupakan saja hasratnya. Alasannya,tidak mahu disalahkan jika kalah.Kalah atau menang bukan soalnya.Nah,hasilnya kumpulan kami berjaya menduduki tempat ketiga tanpa kami sangka.

“Aku nak beritahu kau, aku dapat tahu keputusan peperiksaan akhir akan diumumkan lebih kurang 2 minggu lagi. Aku risaulah. Ini penentu kita nak ke universiti tau.” Bicara Waty yang berbaur risau turut mengundang resah di hati Arina.

“Mana kau tahu ni? Aku tak dengar apa cerita pun?”

“ Aku pun dapat tahu dari ex-roommate aku. Tapi boleh jadi betul juga kan. Kemasukan ke universiti kan tak lama lagi je. Aku harap kita lepaslah hendaknya. Asalkan dapat tempat pun jadilah. Jurusan apa yang aku dapat belakang kira. Sudahlah keputusan 2 semester sebelum ni tak memuaskan langsung. Usaha macam nak gila pun tak capai juga target.” Seketika terdengar keluhan berat keluar daripada mulut Waty. Arina turut mengangguk tanda sependapat dengan temannya. Namun dia pasti, Tuhan memberikan apa yang setimpal dengan usaha hambanya.

“Tak apalah,Waty. Jangan risau sangat. Kita dah usaha,bukan kita dok goyang kaki mengharapkan kejayaan. Insya allah,adalah rezeki kita tu.” Arina cuba meredakan kekalutan yang dihadapi temannya sekaligus cuba menenangkan perasaannya sendiri.

“Betul cakap kau tu. Okaylah, apa-apa hal nanti aku mesej kau. Take care.” Waty mengakhiri perbualan mereka. Sebelum memutuskan talian, sempat Waty mengusik Arina dengan ‘Milah’. Arina cuma tersenyum simpul sambil membalas kata-kata usikannya. Tidak kuasa dia melayan Waty lebih-lebih. Silap haribulan sampai esok pun masih lagi bergayut di telefon.

‘Milah’, bisik Arina sendirian. Lucu pula mengingatkan bagaimana dia terperangkap. Kononnya ingin menyembunyikan identiti, ingin kekal dengan jolokan ‘peminat misteri’. Siapa sangka, buku rujukan Biologi yang dipinjamkan secara sukarela kepada lelaki itu tertera namanya dengan jelas. Bagaimana dia boleh lalai sedangkan selama ini dia cukup berhati-hati melaksanakan misinya dengan bantuan teman rapat. Pada masa itu, dia mendapat berita bahawa ‘Milah’ atau nama sebenarnya Halim terpaksa mengulang subjek Biologi semester kedua. Dengan niat untuk membantu, apatah lagi buat orang yang diminati,dia meminjamkan bukunya. Mudah-mudahan Halim berjaya kali ini. Natijahnya, Halim menghubunginya dan memberitahu yang dia sudah mengecam siapa yang selalu menitip surat dan hadiah kepadanya. Malunya hanya Allah yang tahu.Syukur Halim tidak menghebohkan hal ini pada sesiapa dan berjanji akan mengekalkan persahabatan ini. Namun sebaik tamat pengajian, tidak sekalipun Halim menghubunginya. Pasti dia sudah lupa akan janjinya. Atau mungkin dia sibuk dengan urusan peribadi.

Biarlah, masing-masing punya cara hidup sendiri. Untuk apa aku memberatkan kepala memikirkan tentang dia, desis hati kecil Arina akhirnya mematikan lamunan. Bayang Halim terus menghilang.

No comments: