Tuesday, March 18, 2008

Meniti Pengalaman Pertama (BAB 4)

Hari Rabu. Bermakna telah genap 3 hari Mazni dan Arina menjalani sesi latihan berdasarkan fungsi yang telah ditetapkan awalannya. Jika diikutkan, terlalu singkat jangka masa latihan yang diperuntukkan pihak majikan buat pekerja pelatih yang masih hijau seperti mereka berdua. Makanya, selepas ini mereka berdua harus berdikari dan meminta bantuan krew-krew lainnya. Pendek kata, kini mereka tidak boleh lagi terlalu bergantung baik pada Shamsul mahupun Azlina.

Kedua-dua gadis remaja ini sedang leka menjalankan rutin harian mereka sewaktu Kak Meera memanggil mereka berdua berjumpanya di ruang rehat. Mereka tidak menunggu lama untuk menuruti permintaan Kak Meera.

“Macam mana latihan sepanjang 3 hari ini? Ada masalah?”soal kak Meera sebaik sahaja mereka sudah berada pada posisi selesa.

“Alhamdulillah kak. Buat masa ni saya boleh ikut apa yang diajar Azlina,”Mazni membalas. Keyakinan jelas terpancar di wajahnya.

“Arina pula?”Kak Meera mengalih pandangan ke arah Arina setelah mengulangi pertanyaannya.
“Emm..insya allah kak. Setakat ni saya baru diajar bahagian vat saja. Bahagian lain Abang Shamsul belum ajar lagi,”keluh Arina. Wajahnya sedikit keruh.

“Tak apa Arina,sekurang-kurangnya Arina dah tahu serba sedikit. Itu memadai untuk 3 hari ni. Latihan ini hanya untuk memberi masa buat kamu berdua menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan di sini. Memang tempoh 3 hari kita tak boleh nak capai kesemuanya. Jangan risaukan hal tu. Proses belajar tu tak tertakluk pada masa tertentu,tapi ia berlaku sepanjang kita di sini. Kalau ada yang tak faham,tanya. Krew-krew di sini pasti sedia membantu” Terangguk-angguk Mazni dan Arina mengiyakan bicara yang meluncur keluar dari mulut Kak Meera. Walaupun bergelar penolong pengurus, tidak pernah dia membataskan pergaulannya sesama krew. Semua dilayan sama rata sebagai rakan sekerja. Tidak sesekali dia memilih bulu. Menurut krew yang sudah lama di sini, sebelum menyandang jawatan sekarang,Kak Meera bermula sebagai krew biasa sahaja. Sama seperti mereka. Berkat kesungguhan dan sifat kepimpinan yang ada padanya,dan mungkin juga rezekinya,dia berjaya menjawat jawatan sebagai ‘crew leader’ dan seterusnya sebagai penolong pengurus.

“Jadi hari ini secara rasminya kamu berdua dilantik sebagai krew Mc Donald cawangan Serdang. Nah, sila sematkan setiap kali anda hadir bekerja,” mata mereka berdua tertumpu pada tag nama yang tertera nama masing-masing. Tag nama berwarna hijau terus dipinkan pada bahagian sebelah kiri bahagian atas dada.

“Sebagaimana yang kamu sedia maklum,kita mengamalkan sistem giliran atau syif. Sistem syif kita terbahagi kepada tiga bahagian, pagi, petang dan malam. Dan setiap sesi kamu wajib bertugas selama 8 jam. Jadi Arina dan Mazni kena bersedialah untuk bertugas sama ada pagi, petang atau malam. Sepatutnya tiada masalah tentang itu sebab akak dah beritahu semasa sesi temuduga hari tu kan?” mereka berdua menganggukkan kepala.

“Baiklah,itu sahaja yang akak nak cakap. Jadual tugas boleh disemak selewat-lewatnya Jumaat ini sebelum masuk minggu baru. Kalau nak buat pertukaran syif sebab ada masalah,beritahu akak dulu.okey,boleh sambung kerja,”

“Terima kasih kak,”Arina dan Mazni meminta diri untuk beredar. Arina runsing juga memikirkan seandainya dia harus bekerja malam. Siapa pula yang akan menghantarnya pulang? Ah,pasti ada penyelesaian,dia memujuk hati yang tidak keruan.

“Kenapa Ina?Macam susah hati je aku tengok?”teguran Mazni membangkitkan dia dari lamunan.

“Aku tengah fikir siapa lah nak hantar aku balik kalau kena kerja malam. Syif malam habis pukul 12 pulak tu,” Arina menyuarakan rasa kesahnya.

“Aku pun sama. Tapi kita cubalah bincang dulu dengan keluarga masing-masing. Insya allah kita bekerja di sini pun tak lama kan? Dapat tawaran universiti,kita cabut,”pujuk Mazni.

“Mudah-mudahan macam tu la. Harap-harap kita diterima masuk ke universiti. Aku risau betul bila fikirkan hal ni. Entah macam manalah result aku nanti. Entahkan lulus,entahkan gagal.” Kecut perutnya memikirkan keputusan peperiksaan akhir matrikulasi. Sudahlah 2 semester sebelumnya dia hanya berjaya mencapai purata markah sebanyak 2.92. Nampaknya cita-citanya untuk mendalami bidang perubatan terkubur begitu sahaja.

Perbualan mereka terhenti tiba-tiba bila mendengar suara memberi salam di kaunter. Seorang gadis berambut panjang berikat satu sedang berbual mesra dengan Azlina juga Kak Meera. Berpakaian seperti mereka,sudah pasti dia juga salah seorang krew di sini. Langkahnya diatur hingga sampai ke tempat mereka berdiri.

“Aik,ni siapa budak berdua ni Meera? Krew baru ke? Asal aku balik cuti je mesti ada krew baru. Kau dah tak nak aku kerja kat sini lagi ke?”pertanyaan spontan yang terbit dari bibir gadis itu membuatkan Arina dan Mazni rasa kurang selesa. Mulut dia ni tak ada insurans ke? Desis hati kecil Mazni. Tiada balasan daripada Kak Meera. Malas hendak melayan barangkali. Arina perasan yang Azlina menggelengkan kepalanya sambil tersenyum bila mendengar kata-kata gadis tadi. Mungkin sikap selambanya itu telah menjadi kebiasaan orang-orang di sini.

“Mana satu Arina?Mazni?” soal gadis tadi tanpa memandang mereka. Kelihatan dia sedang mengikat tali apron di bahagian belakang sambil menunduk. Tidak lama kemudian baru dia mendongak.

“Saya Mazni” terlebih dahulu Mazni memperkenalkan diri.

“Yang kecik ni Arinalah”. Dia membuat andaian. Arina mengangguk Identiti yang sudah ketara sinonim dengan dirinya.

“Nama akak Fauziah,tapi panggil je Kak Ogy.”Mereka berdua sekadar tersenyum.

“Assalammualaikum!!Eh,ada orang barulah,” tercegat di satu sudut seorang lelaki memandang tepat ke arah mereka berdua.

“Ha,mulalah nak menggatal tu. Dah,pergi buat apa yang patut! Cuti dahla lama sampai seminggu,kalah orang kahwin!” hendak terburai tawa Arina dan Mazni namun mereka tahan kerana tidak mahu lelaki itu tersinggung.

“Ala,kalau aku kahwin pun apa salahnya. Apa ingat orang gelap macam aku tak ada yang nak? Hitam itu menawan. Bak kata orang,hitam-hitam si tampuk manggis walaupun hitam dipandang manis,” gadis yang menggelarkan dirinya Ogy itu mencebik. Mereka berdua makin leka melihat mereka berdua beradu kata.

“Ha,budak 2 ekor ni pun. Apa tercegat lagi tu? Pergi buat kerja!” sergahan Kak Ogy membuatkan mereka terkulat-kulat. Mazni cepat-cepat mangatur langkah ke kaunter manakala Arina pula terus mencapai kain pengelap dan membersihkan apa-apa yang patut.

“Hai,nama abang Muazam. Kalau kak Ogy buli awak,beritahu kat abang ya. Siapa nama tadi?” Muazam berkata separuh berbisik. Mulutnya terasa dekat dengan cuping telinga Arina yang dilitupi tudung.


“Arina. Panggil Ina saja,”dia memperkenalkan diri.
“Amboi,sedapnya dia mengata aku. Ina jangan percaya cakap Muazam tu. Ulat bulu!” Rupanya bisikan Abang Muazam berupaya didengari oleh Kak Ogy yang sibuk mengisi semula stok kertas pembalut dan kotak bungkusan makanan. Biarpun tangannya ligat bekerja,namun telinganya masih dapat menangkap bicara Abang Muazam. Memang dasar telinga lintah.

“Tak sudah-sudah lagi ke Ogy,Muazam?Pantang jumpa asyik nak bertekak,macam anjing dengna kucing. Ogy, Ina tu baru 3 hari je kat sini. Banyak lagi dia tak tahu. Kau tolong tengokkan sikit. Ajar mana-mana yang patut. Kau jadi PC hari ni kan?” Kak Ogy tersengih malu bila Kak Meera menegurnya di hadapan Arina. Tidak ketinggalan juga Abang Muazam. Ingin tergelak pula Arina melihat mereka berdua ditegur begitu. Dah tua pun perangai masih macam budak-budak,Arina berkata di dalam hati. Hatinya sedikit gusar. Bolehkah dia bekerja di bawah seliaan Kak Ogy?

Buat kesekian kalinya jantungnya kini berdegup kencang.

Meniti Pengalaman Pertama (BAB 3)

Letihnya Ya Allah, desis Arina sambil merebahkan tubuh kecilnya ke atas tilam. Matanya menerawang ke atas siling. Hari pertama dilatih Shamsul cukup membuatkan dia terasa betapa sukarnya pekerjaan ini. Semuanya harus bergerak pantas. 6 jam dia berdiri tanpa sempat untuk duduk walau sekejap. Pelanggan pula tidak putus-putus datang ke premis mereka.

Matanya dipejamkan sambil mengingati apa yang telah dilaluinya hari ini. Shamsul mengajarnya cara untuk mengendalikan bahagian vat. Selama ini dia hanya tahu makan sahaja segala menu yang terdapat di Mc Donald. Kali ini, dia berpeluang untuk menyediakannya sendiri. Pertama sekali dia diajar cara-cara untuk menyediakan burger Mc Chicken. Mula-mula dia memerhati setiap langkah yang ditunjukkan Shamsul kepadanya. Kemudian, Shamsul mengarahkannya untuk melakukannya sendiri di bawah pengawasannya. Serba kekok ditambah pula dia merasa tidak senang kerana Shamsul serius memerhatikan cara dia bekerja. Hendak dihalang, manakan boleh kerana memang itu tugasnya sebagai instructor kepada dirinya. Hendak tak hendak,dia meneruskan sahaja walaupun keadaan menjadi serba tidak kena. Adakala dia perasan mata Shamsul seakan merenung tajam padanya.

Ketawa Arina tiba-tiba mengenangkan kekalutannya di tempat kerja.Sos untuk burger Filet O Fish diletakkan di dalam burger Mc Chicken. Mujurlah dia tidak dimarahi. Warna untuk kedua jenis sos ini agak serupa cuma sos untuk burger Filet mengandungi cebisan-cebisan sayuran yang sepatutnya jelas perbezaanya. Entah apalah pandangan Shamsul terhadap dirinya. Sejenak wajah Shamsul yang dipanggilnya abang seakan terpapar di depan mata. Dia memanggil dengan panggilan abang sebagai tanda hormat memandangkan Shamsul lebih tua daripadanya. Tidak lebih daripada itu. Memang dia sendiri akui Shamsul memiliki raut wajah yang bisa menggetarkan hati insan yang bergelar perempuan. Melihat dia tersenyum sahaja sudah cukup membuat hati yang suram berubah ceria. Namun untuk jatuh cinta..ah, sama sekali dia tidak terfikirkan hal itu.

“Tak nak makan ke Along?”suara ibunya mematikan terus lamunan dan mengembalikannya semula ke alam nyata. Tersembul wajah ibunya di balik pintu kamarnya yang separuh terbuka.
“Kenyang makan kat tempat kerja tadi.”Malas sahaja Arina menjawab. Dia betul-betul keletihan. Terasa bagaikan hendak patah tulang-temulangnya.

“Tak apalah kalau macam tu. Kalau lapar nanti, mak ada simpankan lauk kat bawah tu. Jangan lupa solat dulu sebelum tidur.”

“Baik,mak.”ujar Arina. Sebaik sahaja ibunya beredar dia terus bangkit untuk menunaikan solat Isyak pula. Nanti kalau dilengahkan bimbang pula tertidur hingga ke keesokan pagi. Matanya pula seolah-olah tidak mampu untuk dibuka. Longlai dia melangkah ke bilik air. Segar semula setelah wajah dibasahi air wuduk.

Selesai solat, dia merebahkan diri untuk melelapkan mata. Tak termampu lagi diri ini untuk bertahan. Selang beberapa minit dia meletakkan kepala di atas bantal, Arina terus hanyut dibuai mimpi.




Hari ini masuk hari kedua sesi latihan. Arina dan Mazni tiba lebih awal dari semalam. Sementara menanti waktu shif mereka bermula, mereka mengambil kesempatan untuk bertukar-tukar pengalaman mengenai peranan masing-masing.

“Susah juga kan kerja sini. Panik je aku. Tu baru menolong Azlina sediakan kentang goreng untuk customer. Belum ambil alih sepenuhnya tugas kaunter. Tengok Azlina cekap betul. Menu kat sini semua dia hafalRupanya ada masa yang ditetapkan untuk kita serve customer. Kalau kita ambil masa melebihi daripada had masa yang ditentukan,maknanya kita tak menepati standard melayan pelanggan.” Terlopong mulut Arina mendengar ulasan Mazni mengenai tugas yang dipikulnya di kaunter. Agaknya penyediaan makanan juga diambil kira dari segi masa penyediaan, fikir Arina. Jadi dia sendiri harus tangkas dan pantas.

“Kau pula macam mana?Okey kerja kat dapur?Belajar masaklah kau ye. Lepas ni handallah kau memasak kat rumah. Dapat trainer hensem lagi. Memang berbaloi duduk panas-panas kat dapur ni.” Sekali lagi Arina menjadi mangsa gurauan Mazni.

“Biasa je. Kau tahu je la kan selama ni aku pandai makan je. Semalam pertama kali dalam hidup aku pula kena prepare untuk orang. Sos untuk Filet aku bubuh kat Mc Chicken. Nasib tak kena bambu dengan abang Shamsul.”

“Uhuk, patutlah terbatuk je dari tadi rupanya ada orang mengumpat saya” Kehadiran Shamsul mengejutkan mereka berdua. Alahai, bila masa pula dia ni muncul? Tahu-tahu terjengul je kat belakang. Saja mau bikin malu la mamat ni, sempat Arina mengomel dalam hati.
“Mengumpat belakang-belakang bang. Ni depan-depan bukan mengumpat.”

Sampuk Mazni. Shamsul yang selesai meletakkan beg dan topi keledarnya menghampiri mereka berdua.
“Kalau bukan mengumpat,apa pula namanya?”soal Shamsul pula.
“Tu namanya mengata,” balas Mazni sambil ketawa. Arina turut menurut jejak Mazni. Shamsul hanya menggeleng sambil tersengih. Terkena pula dia hari ini. Dalam diam dia membuat perbandingan. Mazni lebih peramah berbanding Arina yang pemalu tetapi sentiasa tersenyum.
“Ooo,kenakan orang. Tak apa,ada lori ada bas,”sahut Shamsul enggan mengalah.

“Rilekslah Abang Shamsul. Saya bergurau je. Tapi kalau abang merajuk, saya suruh Ina pujuk,” balas Mazni selamba. Arina menggelengkan kepalanya. Mazni ni kan..ish geram sungguh aku, rungut Arina sendirian. Balik-balik aku juga!

“Ina nak pujuk?Kalau macam tu abang nak merajuklah hari-hari” balas Shamsul lagi lantas melirik ke arah Arina. Arina sudah mula tidak senang duduk menjadi bahan usikan mereka berdua. Apa yang mampu dilakukannya hanyalah tersenyum. Tak tahu apa yang patut dibalasnya.

“Wah,riuhnya kat sini. Ada apa-apa yang menarik ke?”tiba-tiba muncul satu lagi suara yang cukup Mazni kenali. Azlina menjengukkan diri dari balik pintu. Dia juga baru tiba seperti Shamsul.

“Tak ada apa. Si Mazni ni ha,suka sangat menyakat orang”Shamsul menjawab. Mazni tersengih ibarat kerang busuk.

“Betullah bang. Itu skill dia yang paling utama. Dengan customer pun dia boleh main-main. Bahaya betul,tapi bagus juga. Mesti kita ada ramai regular customer lepas ni.”Jelas Azlina sambil menepuk bahu rakan didiknya. Mazni tersengih nakal.

“Mestilah,itulah salah satu cara perkhidmatan pelanggan yang baik. Kita mesti peramah,jadi pelanggan akan rasa dihargai.. kemungkinan untuk mereka datang lagi amat besar. Siapa yang untung?”

“Kitalah untung!”serentak jawapan terpacul keluar dari bibir Azlina,Arina dan Shamsul.
“Pandai anak-anak muridku sekalian. So,hari ini aku nak buat apa pula Azlina?” soal Mazni.
“Jom tolong aku stock up beverage. Hari ni kalau sempat aku akan ajar kau buat Sundae. Amacam?”

“Set!” setelah meminta diri, mereka berdua beredar untuk memulakan tugas. Tinggal Arina dan Shamsul sahaja di ruang rehat. Suasana menjadi sepi seketika.

“Macam mana training semalam?Boleh ikut?”Shamsul memecahkan kesepian dengan memulakan kata.
“Boleh kut,”Balas Arina ringkas.

“Kenapa ada ‘kut’ pula kat belakang tu?Ina rasa susah ke?Atau tak yakin?”Soal Shamsul lagi. Dia inginkan kepastian supaya segala kelemahan dapat diatasi.

“Susah juga. Maklumlah,pertama kali. Saya risau juga kalau saya menyusahkan abang Shamsul nanti. Saya ni lambat sikit bang,”Perlahan saja suara Arina di pendengaran Shamsul. Oh, itu yang mengganggu fikiran gadis kecil molek ini. Takut menyusahkan aku rupanya,bisik hati kecil Shamsul.

“Ina,tu la suka fikir yang bukan-bukan. Semua tu boleh diatasi Ina. Yang penting,Ina sendiri ada usaha untuk memperbaiki prestasi. Tak apalah,bak kata orang alah bisa tegal biasa. Jangan risau sangat,okey?Ina ingat semua krew kat sini datang-datang je terus boleh buat kerja?Mereka pun sama je dengan Ina. Jadi,jangan rendah diri lagi,okey?” nasihat Shamsul sedikit sebanyak memberi kesan positif pada diri Arina. Hatinya beransur lega. Senyuman dilemparkan pada Shamsul atas dasar berterima kasih atas kata-kata dorongan yang dititipkan buatnya.
“Macam tu la. Manis Ina bila senyum,kan?Okeylah,kita mulakan latihan sekarang. Abang nak tengok Ina handle kitchen macam mana. Semalam Ina dah belajar cara buat Mc Chicken kan?Hari ni abang akan ajar Ina cara untuk menyediakan Filet-O-Fish,pai epal dan nanas juga nugget. Jom.” Mereka berdua mengatur langkah menuju ke ruang dapur.

“PC! One Mc Chicken!” suara lantang Azlina mengejutkan Arina yang baru tiba di ruang dapur. Jam baru pukul 10.30 pagi dah ada pelanggan? Tepat pada waktunya mereka berdua di sini. Arina menjengukkan sedikit wajahnya ke ruang lobi. Ada 2 orang pelajar lengkap berpakaian sukan sedang membuat pesanan. Hmm..budak-budak sekarang sudah mampu melaburkan duit mereka di restoran makanan segera. Teringat sewaktu dia masih di alam persekolahan. Wang sakunya hanya bernilai RM 1 dan dibahagi dua. Separuh untuk sekolah pagi,separuh lagi buat belanja sekolah agama di waktu petang. Jauh sekali bedanya dengan masa kini.

“Thank you!”Shamsul menyahut. Dia membongkokkan badannya sedikit untuk mencapai bakul tempat simpanan apron yang letaknya di bawah meja. Satu dihulurkan untuk Arina. Dia sendiri mengenakannya kerana ini merupakan polisi yang perlu dipatuhi oleh krew yang bertugas di dapur.

“PC!One Mc Chicken,total two!”pesanan kedua pula diterima. Shamsul memberi isyarat kepadanya supaya memberi respon.

“Thank you!” Arina membalas. 4 keping ban roti dikeluarkan dari plastik. Kesemuanya diatur di atas tray khas lantas dimasukkan ke dalam bun toaster. Sementara menantikan ban siap dibakar, Arina mencapai daging ayam atau istilahnya chicken patties dari dalam freezer.

Terpaksa dia menjengketkan kakinya memandangkan kedudukan freezer yang agak tinggi dia ats kepalanya. Dingin ais seta-merta menyerkup jari-jemarinya.2 keping patties tersebut dimasukkan ke dalam bekas khas lalu direndamkan di dalam vat yang berisi minyak yang telah dipanaskan pada suhu tertentu. Tidak lama kemudian, terdengar isyarat bunyi dari bun toaster menandakan ianya telah siap dibakar. Dengan penuh hati-hati dia mengeluarkan tray lalu diletakkan di atas meja. Arina mula melakukan dressing untuk burgernya. Lapisan pertama dia meletakkan salad dalam anggaran segenggam tangannya diikuti dengan sedikit sos krim berwarna putih untuk lapisan kedua. Sekali lagi bunyi bingit memecahkan suasana menandakan patties telah sedia untuk diangkat. Dalam keadaan ia masih panas Arina meletakkan kedua-duanya di atas sekali untuk melengkapkan lapisan ketiga. Selesai,Arina meletakkan ban terakhir untuk menamatkan dressing. Kemudian tray tersebut dihulurkan pada Shamsul yang sudah bersedia dengan kertas pembalut burger. Tanpa membuang masa Shamsul membalut kedua-dua burger tersebut lalu diletakkan di dalam ruangan khas. Sebagai product controller,dia bertanggungjawb menguruskan makanan yang disediakan oleh krewnya dan memastikan kuantiti yang septutnya disediakan untuk mengelakkan pembaziran.

“Jadi macam mana?Senangkan?”soal Shamsul. Arina mengangguk. Memang agak mudah,namun untuk melakukannya dengan kadar segera itulah yang menjadi persoalan.

“Abang nak Arina buat 5 Mc Chisken dan 5 Filet O Fish. Kejap lagi mesti ramai customer. Cara buat filet sama je dengan Mc Chicken,cuma ban rotinya kita steam,bukan letak dalam toaster. Tekstur rotinya pun lain sikit,lebih lembut.Semalam abang ada bagi manual penyediaan kan?”Arina mengangguk lagi. Memang semalam dia diberi manual penyediaan menu yang terdapat di restoran tersebut dan dia sudah membacanya. Arahan Shamsul dituruti dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Kita terlupa sesuatu,”ujar Shamsul sambil menayangkan tangannya. Alamak,macam mana kami boleh terlupa nak pakai sarung tangan plastik ni? Cepat-cepat Arina mengambil dua pasang sarung tangan. Shamsul menyambutnya dari tangan Arina. Mujurlah pengurus belum datang lagi. Kalau tidak...

“PC!Customer in,check product!” suara Kak Meera pula berkumandang

“Thank you!”Tanpa dirancang,Shamsul dan Arina menjawab serentak. Mereka berdua berpandangan. Tidak lama selepas itu,meledak tawa di antara mereka.

Meniti Pengalaman Pertama (BAB 2)

Arina mundar-mandir di hadapan restoran Mc Donald dengan jiwa yang resah. Mazni masih belum nampak batang hidungnya. Tinggal 15 minit sahaja lagi waktu akan bergerak ke pukul 10 pagi. Sebelum bertolak, dia ada menghubungi sahabatnya namun tidak berjawab. Ingatkan Mazni telah sampai lebih dahulu.

Tunggulah sekejap. Lagi 5 minit dia tak sampai,aku masuk, Arina membuat keputusan. Dia menyandarkan tubuhnya ke dinding. Malam tadi mereka sudah berjanji untuk menunggu di sini. Sudah lupakah Mazni? Arina merungut lagi. Kalau boleh dia tidak mahu lewat di hari pertama gara-gara menunggu.

“Hai,baru ye?”seorang lelaki menegurnya. Terkelu lidahnya untuk menjawab lantaran terkejut dengan sapaan yang tidak disangka. Arina hanya menganggukkan kepala sebagai mengiyakan pertanyaannya. Daripada pakaian yang dipakainya, Arina maklum yang lelaki ini merupakan bakal rakan sekerjanya.
“Kenapa berdiri kat sini?Tak nak masuk ke?Shif pukul berapa?” banyaknya soalan mamat ni, getus Arina dalam hati.

“Bukan tak nak masuk,Azlan. Saya tengah tunggu kawan saya. Shif kami pukul 10,”Arina menjawab sambil matanya melirik ke arah jam tangan yang tersemat di pergelangan tangan kirinya.Kurang 10 minit lagi pukul 10 pagi.

“Eh,mana tau nama saya?”Pelik apabila gadis yang baru pertama kali bertemu mengenali dirinya.

“Tu,kat baju awak tu” Jari telunjuk Arina menuding pada tag nama yang dipakai Azlan. Mata Azlan menghala ke arah yang ditunjukkan. Lantas dia menepuk dahi.

“La, terlupa pula saya. Haha. Tak sempat nak kenalkan diri awak dah tau. Jadi giliran saya pula nak tahu nama awak.”

“Saya Arina,”pendek jawapan Arina. Azlan baru hendak menyambung perbualan apabila telinganya menangkap sayup-sayup suara memanggil nama Arina dari kejauhan. Azlan menoleh. Seorang lagi gadis yang tidak dikenali berpakaian seragam sepertinya menghampiri mereka berdua.

“Aduh,sorry lah Ina. Traffic jam tadi. Lepas tu pakcik teksi tu berhenti jauh pulak. Terpaksa aku menapak dari pasar ke sini,” Mazni memberi penjelasan tanpa dipinta. Awa-awal lagi dia sudah keluar dari rumahnya. Malangnya kesesakan jalan raya yang tidak pernah surut di kawasan perumahannya membantutkan kelancaran perjalanannya. Pemandu teksi yang dinaikinya pula tidak betah lagi menunggu lantas bertindak menurukan dia agak jauh dari destinasi sebenar. Walaupun sebal dengan tindakan pemandu tersebut,namun fikirnya itu lebih baik daripada dia terus-terusan tersangkut di dalam teksi. Sekurang-kurangnya dapat juga dia berusaha berlari daripada duduk menyumpah situasi yang membuat hatinya tidak keruan.Simpati pula Arina pada temannya. Terus hilang rasa tidak puas hati yang menyelubungi hatinya sebentar tadi. Tiba-tiba Mazni baru tersedar ada orang lain bersama mereka. Terbit rasa malu mengenangkan tingkahnya tadi. Hari pertama dah jatuh saham.mesti dia ingat aku ni buruk perangai. Terpekik-pekik macam orang gila, Mazni mengeluh.

“Hai,saya Azlan,”Azlan menghulurkan salam perkenalan buat Mazni.
“Saya Mazni. Selamat berkenalan,”salam persahabatan disambut seikhlas mungkin.
“Jomlah kita masuk,dah nak dekat pukul 10 ni. Azlan tak masuk sekali?”Arina bertanya apabila dia melihat Azlan tidak ikut serta bersama mereka.

“Saya lagi setengah jam. Tak apalah, you two masuk dulu. Jumpa nanti,” cepat-cepat Mazni dan Arina melangkah masuk ke lobi restoran. Demi ternampak kelibat Kak Meera,langkah diatur lebih pantas.

“Morning Kak Meera,” Tanpa dirancang, kedua-dua mereka serentak mengucapkan selamat pagi.

“Morning. Kata semalam sebelum Subuh nak datang?”perli Kak Meera. Mereka berdua hanya tunduk membisu. Tidak tahu apa yang wajar diperkatakan memandangkan raut wajah Kak Meera yang serius. Mereka sampai tepat pada waktu,tidak lebih dan tidak kurang. Gelisah mereka dibuatnya. Apa salah mereka?

“La,awat kelu je ni?Akak bukan marah la. Gurau je. Korang takut eh?Haha.”Kak Meera meletuskan tawanya. Lega sungguh hati Arina dan Mazni. Maklumlah hari pertama bekerja, belum bijak mentafsir perilaku dan personaliti krew di sini.

“Ikut akak,”mereka mengangguk tanpa bantahan. Mazni dan Arina membontoti Kak Meera ke ruang kecil tempat mereka menonton video semalam. Mereka difahamkan ia juga merupakan ruang rehat untuk para pekerja. Lebih kepada ruang untuk menjamu selera. Beberapa orang krew yang memulakan shif pagi melemparkan seyuman. Dengan senang hati mereka turut membalasnya.

“Pertama sekali akak nak ucapkan selamat datang ke restoran ni dan menjadi sebahagian daripada krew di sini. Nama akak Ameera, just call me Kak Meera. Akak memegang jawatan sebagai penolong pengurus restoran Mc Donald cawangan Serdang.Akak nak ingatkan tentang peraturan. Mengenai kehadiran,mesti sampai tepat pada waktu. Syabas kerana anda berjaya menghadirkan diri pada waktu yang ditetapkan.” Mazni dan Arina berpandangan sesama sendiri sambil mengulum senyum bangga.

“ Hanya alasan yang munasabah saja kita terima seandainya datang lewat. Kalau ada kecemasan,terpaksa cuti,beritahu kami. Supaya senang kami nak cari pengganti­----“
“Pagi Kak Meera!Ops!” amanat Kak Meera terhenti apabila muncul satu suara menyapanya.
“Pagi,Shamsul. Kau shif pagi ke? Akak ingat kau closing?”ujar kak Meera kehairanan. Yakin benar dia bahawa nama Shamsul tersenarai dalam kategori shif malam. Mana mungkin dia tersilap sedangkan dia yang bertanggungjawab menyusun jadual pekerja bawahannya.

“Saya tukar shif dengan Ogy. Dia ada hal sikit katanya. Urgent,”jelas Shamsul. Kak Meera mengangguk tanda faham. Pandangan Shamsul terarah pada kedua orang gadis yang mengambil tempat di hadapan Kak Meera. Pekerja baru agaknya,desis Shamsul dalam hati. Setelah meletakkan beg dan jaket di tempat yang disediakan, dia lantas menjalankan rutin.

“Okey,kita sambung semula. Memandangkan kita bertanggungjawab menghidangkan makanan kepada pelanggan, kebersihan merupakan perkara utama yang perlu dititikberatkan. Sebelum mula kerja, pastikan tangan dibasuh terlebih dahulu menggunakan sanitizer yang disediakan. Prosedur ini akan diteruskan setiap 30 minit selepas basuhan pertama. Asalkan jaga kebersihan,itu dah memadai. Kalau rasa baru lagi cuci tangan tu, tak apalah tak perlu ikut sangat prosedur tu. Jangan lupa pakai sarung tangan. Ini yang paling penting untuk mengelakkan makanan yang disediakan terdedah pada bakteria dan mengelakkan keracunan” satu persatu pesanan Kak Meera mereka pahatkan di dalam ingatan masing-masing.
“Sekarang kita akan mula latihan. Mazni akak aturkan latihan di kaunter dan Arina akak aturkan bekerja di ruang kitchen. Selamat menjalankan tugas. Akan ada orang yang akan melatih kamu berdua. Mari akak kenalkan krew-krew di sini ” Mazni dan Arina bangun lalu mengekori langkah Kak Meera.

“Okey,krew. Akak nak kenalkan ahli baru kita sekejap,” semua pekerja yang ada di situ menghentikan seketika tugas masing-masing. Semua mata kini menghala ke arah Mazni dan Arina. Timbul pula rasa gemuruh apabila berhadapan dengan situasi seperti ini. Berhadapan dengan wajah-wajah yang tidak dikenali, Arina tertanya-tanya dapatkah dia menyesuaikan diri di sini? Dapatkah mereka menerima kehadirannya untuk menjadi sebahagian daripada krew? Berbanding Arina,Mazni lebih relaks dan tenang.

“Boleh kenalkan diri masing-masing?” pertanyaan kak Meera sekaligus mematikan lamunan Arina. Arina menoleh ke arah Mazni. Mazni cukup faham dengan sikap pemalu temannya itu. Lalu dia memulakan sesi perkenalan yang diatur Kak Meera buat mereka.
“Pagi semua, saya Mazni dan ini rakan saya,Arina.”

“Hai,”perlahan kata yang terbit dari bibir mungilnya. Seakan suaranya tersekat di kerongkong. Para krew turut membalas dengan respon yang sama.

“Shamsul,akak minta tolong kau train Arina bahagian kitchen. Biasakan dia dengan rutin harian kita. Boleh kau pikul tugas ni?” seketika Arina terkedu. Dia ke yang bakal melatih aku? Arina menoleh ke arah Mazni. Tersengih temannya itu seraya mengangkat keningnya. Tahu sangat dia dengan keletah Mazni yang suka mengenakan dirinya.

“Menjunjung perintah tuanku. Segala amanat tuanku terjunjung di atas batu jemala patik. Patik akan melatih adinda Arina sebaik mungkin. Ampun tuanku.” Kata-kata Shamsul disambut dengan sorakan para krew yang mendengar. Riuh seketika ruang dapur yang boleh memuatkan krew seramai 10 orang itu. Wajah Arina mula merona merah menahan malu.

“Amboi Shamsul,suka lah tu aku assign pada Arina. Mentang-mentang Arina tu cute. Ada harapan jual minyaklah kau ye?” usik Kak Meera sambil ekor matanya melirik ke arah Arina. Arina cuma mampu menahan malu.

“Mana ada kak Meera. Tak baik tau malukan saya depan dua orang krew baru. Mazni siapa pula yang latih?”Shamsul beralih topik apabila terperasankan wajah Arina yang mula bertukar merah padam.

“A’ah, terlupa pula akak kat Mazni. Maaf ya,”Kak Meera memaut bahu Mazni tanda memohon maaf. Mazni hanya ketawa kecil. Sedikit pun dia tidak berkecil hati malah terhibur melihat telatah krew yang pantas mengusik antara satu sama lain.

“Saya tak kisah kak. Betul juga kata Shamsul. Siapa yang bakal menjadi mentor saya?” Mazni turut tertanya-tanya.
“Since Mazni has to work at the counter, I choose Azlina to train her. Can you,Azlina?” Azlina mengangguk
“Boleh saja Kak Meera. Okey Mazni,mulai hari ini,we will be partners. Deal?”Azlina menghulur tangannya untuk bersalaman.

“Deal. And we will be the best duo counter crew.”Mazni menyambut tangan Azlina lantas menggenggamnya dengan kejap. Kemudian keduanya saling ketawa. Selain Azlina dan Shamsul, mereka berdua turut diperkenalkan dengan Luqman, Shafiq, Lydia dan Suhana. Kesemuanya menyambut baik kehadiran mereka berdua. Sedikit demi sedikit mereka dapat menyesuaikan diri dengan keadaan. Tidak ketinggalan sekali lagi mereka diperkenalkan dengan Azlan yang merupakan rider atau despatch di premis ini.

Usai proses memperkenalkan diri, para krew kembali menjalankan tugas masing-masing. Mazni beredar ke kaunter. Sebelum itu sempat dia berbisik pada Arina “ Handsomenya trainer, untng kau Ina. Kalau aku la,tak tau nak kata apa” hasil daripada usikannya,satu cubitan singgah di lengan Mazni. Mazni mengaduh kesakitan namun sempat lagi melepaskan tawanya.

Setelah kelibat Mazni menghilang, Arina tinggal bersendirian di ruang dapur. Matanya melilau di segenap pelusuk tempat dia ditugaskan. Terdapat tiga bahagian yang terisi penuh dengan minyak masak. Bekas aluminium penuh berisi salad. Sebuah botol panjang diletakkan di sebelah bekas aluminium tersebut. Barangkali itu sos untuk burger,fikir Arina sambil mebelek botol plastik tersebut.

“Assalammualaikum,apa yang ditenungkan tu?” hampir terlurut botol plastik berisi sos yang digenggamnya. Sungguh dia tidak menyangka Shamsul sudah berdiri terlalu hampir dengannya. Bibirnya mengorak senyuman. Arina cuba membalas namun dia amat pasti bibirnya sedikit bergetar. Perasaan malu mula menguasai diri.

“Tak ada apalah Abang Shamsul. Saya cuma tengok-tengok saja,” Arina menjawab soalan Shamsul. Perlahan dia meletakkan semula bekas tersebut di tempatnya.

“Tak apa. Yang Arina pegang tadi tu sos untuk burger Mc Chicken.Sekarang abang akan terangkan bahagian vat. Kalau Arina rasa tak faham,tanya saja,okey?Dengan abang tak payahlah malu.” Saja Shamsul menekankan ayat terakhirnya supaya Arina tidak rasa kekok berada di bawah seliaannya. Macam mana aku tak malu,kau tu hensem sangat,bisik Arina nakal.

“Okey. Abang Shamsul, panggil saja saya Ina.”
“Ina. Okey, dah sedia? Kita mulakan sekarang?” Arina mengangguk menandakan dia sudah sedia untuk memulakan latihan buat julung kalinya dalam hidup.

Monday, March 17, 2008

Meniti Pengalaman Pertama (BAB 1)

Langkah Arina dan Mazni terhenti di hadapan pintu masuk restoran Mc Donald. Menerusi dinding kaca yang jernih,mereka melihat ada dua tiga orang pelanggan berada di dalam menunggu giliran untuk diambil pesanan mereka di kaunter. Pukul sebelas pagi keadaan masih lengang. Namun situasi di sini pasti berbeza tatkala masa menginjak ke waktu puncak yakni jam dua belas tengah hari . Waktu begini restoran makanan segera ini pasti sesak dengan pengunjung sementelahan lagi lokasinya yang strategik berhampiran kawasan kediaman dan pusat pengajian tinggi awam.

“Macam mana Ina? Nak cuba tak?”Mazni beralih pandang pada sahabat yang berdiri tegak di sisinya.

“Entahla Maz.Aku pun tak tahu.” Balas Arina. Nada suaranya jelas menunjukkan keraguan. Pada mula perancangan, memang dia bersemangat untuk mencuba nasib mengintai peluang kerja di sini. Entah kenapa dia terasa cuak pula.

“Jomlah kita try. Alang-alang dah sampai,kalau tidak sia-sia saja perjalanan kita. Lagipun kau nak ke duduk melepak je kat rumah dalam masa 3 bulan ni? Tengok,baru seminggu kita cuti dah terasa bosan. Kalau kita kerja, dapat juga duit saku. Dapat menimba pengalaman.” Arina diam mendengar hujah Mazni. Tidak mampu dia menangkis kerana kebenaran memang terserlah dalam kata-katanya. Rutin di rumah sejak tamat matrikulasi sama sahaja. Bangun bila matahari sudah tinggi menggalah, lena apabila subuh hampir menyapa. Melayan siaran televisyen yang sememangnya menjanjikan hiburan yang menarik. Tapi semua keseronokan itu hanya mampu bertahan selama tujuh hari. Sudahnya, dia terasa jemu.

“Aku seganlah nak tanya. Kau berani tak?”Arina pula mengajukan soalan.
“Berani tak berani kita masuk dulu. Takkan nak tercegat kat sini,” Seiring dengan itu Mazni menarik tangan Arina.Arina hanya menurut biarpun hatinya berkocak. Pintu kaca ditolak perlahan. Mereka berdua berjalan menghampiri kaunter. Hanya satu kaunter sahaja dibuka dan ada seorang pelanggan yang sedang membuat pesanan. Sementara menanti pelanggan di hadapan mereka selesai dengan urusannya, Arina sempat meninjau keadaan di dalam dapur restoran. Walaupun sedikit terhalang dengan mesin air berkarbonat dan ruang meletak pesanan yang sudah sedia, dia dapat melihat aktiviti para pekerja yang sedang sibuk menjalankan tugas masing-masing. Macam manalah agaknya keadaan aku jika bekerja di sini? Sempat dia membayangkan dirinya menjadi salah seorang krew di situ.

“Selamat datang ke Mc Donald. Nak pesan apa dik?” seorang gadis menyapa mereka sebaik sahaja pelanggan tadi beredar. Tersentak, Arina cuba tersenyum bagi menutup debar di dada.
“Kak, sebenarnya kami datang ni nak tanya. Kat sini ada kerja kosong tak? Kalau ada macam mana nak apply?” Mazni menyoal tanpa rasa sangsi.

“Oh,sekejap ya. Kak Meera!Wanted at the counter!” gadis itu melaungkan nama seseorang bagi membantu menjawab pertanyaan mereka. Mazni sempat menncuit tangan Arina. Menandakan bahawa kemungkinan besar peluang terbuka untuk mereka. Arina mengangguk tanda membalas. Tidak berapa lama kemudian, muncul seorang wanita bertudung biru tua memakai uniform yang berbeza daripada para krew. Segaris senyuman dilemparkan buat mereka.
“Ya,adik ada apa-apa masalah?”soal wanita yang dipanggil Kak Meera. Tutur suara yang lembut menyingkirkan terus rasa malu dan segan yang bersarang di hati Mazni dan Arina.
“Begini kak. Kami datang ni nak tanya kalau ada kerja kosong kat sini,”Arina pula mengambil alih tugas mengajukan soalan daripada Mazni.

“Oh,memang kami sekarang sedang mencari pekerja. Kalau adik-adik ni berminat,bolehlah isi borang ni. Sila lampirkan salinan kad pengenalan dan sekeping gambar berukuran pasport. Bila dah siap,hantar pada akak semula.” Kak Meera mengunjukkan 2 helai borang permohonan kerja buat mereka berdua.Penjelasan yang jelas diberikan Kak Meera memudahkan urusan mereka seterusnya.

“Kena hantar hari ni juga ke kak?”Tanya Mazni inginkan kepastian.
“Kalau boleh hari ini lagi bagus. Boleh akak teruskan dengan proses temuduga pula. Kalau lepas, esok dah boleh mula training,” jawapan Kak Meera mengundang sedikit getar di hati masing-masing. Temuduga?
“Jangan risau. Soalan biasa saja. Sekadar prosedur. Tak payah baca buku pun boleh jawab,” ujar Kak Meera yang dapat menilai apa yang tersirat di lubuk hati kedua gadis ini. Mazni dan Arina tersipu malu dengan kenyataan Kak Meera. Pasti dia perasan ekspresi wajah mereka yang keruh tatkala diberitahu ada sesi temuduga.

“Kalau macam tu kami minta diri dulu. Terima kasih kak,”Mazni dan Arina meminta izin mengundur diri. Sebelum beredar mereka mengucapkan terima kasih juga kepada gadis kaunter yang membantu awal tadi. Azlina namanya.

Urusan mengisi borang dan menyediakan dokumen yang diperlukan berjaya disiapkan mereka pada hari yang sama. Selesai urusan temuduga, mereka berdua diberi sedikit penerangan tentang latihan yang bakal mereka lalui selama 3 hari berturut-turut. Kemudian mereka dibawa ke ruang kerja untuk menonton video tentang manual tugas di kaunter dan juga di ruang memasak. Sebelum pulang, mereka juga diberi sepasang uniform dan manual tugas dalam bentuk helaian.

“Esok datang pukul 10 pagi,okey? Jangan lambat. Awal tak apa. Kalau lewat,buang kerja!” ugut Kak Meera dalam nada bergurau.

“Baik bos. Esok sebelum Subuh kitorang sampai!” Arina membalas mengajuk stail watak Aziz Sattar dalam filem Seniman Bujang Lapuk.
“Sebelum Subuh nak buat apa. Tak payah solat ke? Kedai pun tak buka lagi. Nak tunjuk rajin tu biar berpada ya. Ini awal-awal je bersemangat,baru susah sikit dah nak berhenti”bebel kak Meera lantas disambut deraian tawa mereka berdua. Kak Meera turut tergelak mengenangkan leterannya. Mengalahkan mak nenek meleteri cucu.

“Okey la akak. Kami pulang dulu. Kita jumpa esok” mereka berdua melambai pada Kak Meera lalu beredar. Di luar, kereta abah Arina sudah menanti. Pasti abahnya tidak percaya yang dia akan mula bekerja esok. Sedangkan dia tidak memberitahu hasratnya secara khusus untuk bekerja sepanjang cuti sementara menanti keputusan untuk kemasukan ke universiti. Bimbang jika keinginannya itu tidak dipersetujui.

“Okeylah Ina. Bapa kau pun dah datang tu. Aku pun nak tunggu mak aku. Kita jumpa esok ya”Mazni meminta diri. Perbualan mereka terganggu seketika dengan deringan telefon bimbit milik Mazni. Tertera nombor telefon ibunya di skrin.

“Mak aku call. Rasanya mesti dia dah tunggu aku kat bus stop. Esok 10 pagi ya!”
“Okey. 10 pagi kita jumpa. Assalammualaikum,”Arina bergegas meninggalkan Mazni yang sedang menjawab panggilan. Dia membuka pintu kereta lantas melabuhkan punggung bersebelahan tempat duduk pemandu.

“Mazni balik dengan siapa?” abahnya menyoal sebaik sahaja dia menutup pintu kereta semula.
“Mak dia datang ambil,”jawabnya ringkas. Dia meletakkan bungkusan uniform yang diperolehinya di tempat duduk bahagian belakang.
“Esok Along dah mula kerja kat Mc Donald. Pukul 10 pagi.”Arina memulakan bicara.
“Kerja?”soal abah terkejut.
“A’ah. Dengan Mazni. Esok mula pukul 10 pagi.” Ulang Arina. Dia membisu menanti reaksi abah terhadap keputusan yang diambilnya. Jika abah tidak bersetuju, dia akan cuba memujuk. Tak mungkin dia menarik balik keputusannya.

“Esok nak pergi macam mana?” Arina tersenyum gembira. Abah tidak menghalang. Pasti abah faham kehendak hatinya untuk menimba pengalaman. Sekurang-kurangnya dia melakukan sesuatu yang berfaedah dan mungkin dapat membantu sedikit sebanyak dalam meningkatkan ekonomi keluarga mereka.

“Along naik bas saja la.”dia menjawab. Niat di hati tidak mahu menyusahkan. Dia maklum yang abahnya bekerja. Mana mungkin ada masa untuk menghantarnya.

“Naik bas?Bahaya nak melintas ke perhentian bas tu. Jalan sibuk. Tak apalah,abah hantar.” Tawaran abah disambut dalam keharuan. Abah selalu risaukan keselamatannya walaupun dia telah menjangkau usia 20 tahun. Mungkin kerana dia anak sulung perempuan, berbanding 2 adik lelakinya yang lebih bebas dan tidak terkongkong berlebihan sepertinya. Keadaan menjadi sepi semula. Arina mula membayangkan apa yang bakal dihadapinya esok. Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar, detik hati kecilnya.